Spekulasi mengenai jawatan menteri besar Perlis yang baru telah berakhir, selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Perlis daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Encik Abu Bakar Hamzah, dilantik memegang jawatan itu.
Bagaimanapun, pelantikan Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Perlis itu mencetuskan ketegangan antara pakatan dalam gabungan pembangkang – Perikatan Nasional (PN) – khususnya Bersatu dan Parti Islam SeMalaysia (PAS).
PAS menganggap pelantikan Encik Abu Bakar yang sebelum ini memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Seni dan Budaya serta Pembangunan Luar Bandar Perlis bagi menggantikan mantan Menteri Besar, Encik Mohd Shukri Ramli daripada PAS sebagai pengkhianatan kepada parti itu.
Selain sindiran secara terbuka yang memberatkan lagi ketegangan itu, pimpinan PAS juga mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan keretakan dalam pakatan politik parti itu dengan Bersatu.
Malah ada pimpinan PAS mempersoalkan tindakan Bersatu yang ‘membisu’ dengan tindakan ‘pengkhianatan’ Adun daripada parti itu sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Besar dan perubahan kepimpinan kerajaan negeri Perlis.
Ketua Pemuda PAS, Encik Afnan Hamimi Taib Azamudden, dalam tulisannya di Facebook mempersoalkan semangat setiakawan Bersatu yang meninggalkan kawan setia begitu saja.
Ahli Parlimen (AP) Alor Setar (Kedah) itu turut menyenaraikan beberapa pengorbanan PAS terhadap Bersatu atas semangat setiakawan.
Ia antaranya termasuk mengorbankan seorang pemimpin kanan parti pemudanya untuk bertanding mewakili Bersatu dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri (Kelantan) pada Ogos 2024; dan menamakan calon Perdana Menteri daripada Bersatu walaupun PAS menang lebih banyak kerusi.
“Apabila berkawan, PAS buat apa saja nak jaga persahabatan. Sanggup korbankan kerusinya beri kepada kawan, sanggup kerah jentera bantu kawan untuk menang, sanggup keluar duit ringgit kutip derma bantu kawan.
“Sanggup duduk diserang bersama-sama supaya sama-sama susah, sama-sama luka, itulah setiakawan yang pernah PAS pamerkan,” katanya.
“Hari ini kawan itu sudah pergi berjalan sendiri. Merasakan diri sudah gagah hebat kuat. Kawan yang setia ini sudah ditinggalkan begitu saja. Tak mengapa kawan, nak pergi pergilah, lepas ini buatlah semuanya seorang diri,” tulisnya.
Berita Harian Malaysia pula pada 29 Disember melaporkan, Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Encik Mohd Syahir Che Sulaiman, berkata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, bersedia mengadakan mesyuarat bagi menentukan pendirian politik mereka, menyusuli krisis PAS-Bersatu dalam kemelut politik di Perlis.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat yang juga AP Parit Buntar (Perak), Encik Mohd Misbahul Munir Masduki, pula mempersoalkan mengapa Bersatu tidak memecat Adun parti itu yang menarik sokongan terhadap Encik Mohd Shukri, sebagaimana tindakan dilakukan terhadap enam AP Bersatu yang menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini.
Dalam pada itu, pada hari pertama memulakan tugas sebagai Menteri Besar, Encik Abu Bakar mengumumkan pemotongan gaji peribadinya sebanyak RM3,000 ($950) setiap bulan bagi menstabilkan keadaan ekonomi negeri dan rakyat Perlis.
Menurutnya, pemotongan itu juga akan membabitkan setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang akan dirombak dan dilantik selepas ini, yang mana setiap seorang akan dipotong gaji RM1,500 sebulan. Pentadbiran Perlis sebelum ini mempunyai lapan Exco, tidak termasuk Menteri Besar.
Krisis politik di Perlis bermula selepas beberapa Adun PAS dan Bersatu menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menarik balik sokongan terhadap Encik Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar. Ia membawa kepada peletakan jawatan itu oleh Encik Mohd Shukri pada 25 Disember.
Menyusuli itu, PAS menghentikan keahlian tiga Adunnya yang menandatangani SD itu, dengan alasan mereka telah melanggar lafaz bai’ah terhadap parti sebelum menjadi calon mewakili PAS pada pilihan raya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg