Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PN gugur pengerusi negeri Perlis, Pahang, Melaka

Oct 28, 2025 | 2:57 PM
PN, digugurkan, Melaka, Perlis, Pahang
Menteri Besar Perlis, Encik Mohd Shukri Ramli (kiri) digugurkan daripada jawatan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, manakala Ahli Parlimen Indera Mahkota (Pahang) yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Saifuddin Abdullah (kanan) digugurkan daripada mengetuai PN Pahang. - Foto NSTP

Perikatan Nasional (PN) melakukan rombakan kepimpinan di peringkat negeri dengan menggugurkan pengerusi PN Perlis, Pahang dan Melaka, langkah yang menandakan kemungkinan perubahan strategi politik gabungan pembangkang itu di dua negeri berkenaan.

Tindakan itu dipercayai berkait rapat dengan perkembangan politik semasa dalaman gabungan politik terbabit.

Dalam satu kenyataan pada malam 27 Oktober, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Azmin Ali, mengumumkan bahawa jawatan Pengerusi PN Perlis kini disandang Ahli Parlimen (AP) Arau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pelantikan Datuk Shahidan yang juga mantan menteri dan bekas ahli Umno itu bagi menggantikan Menteri Besar Perlis daripada PAS yang digugurkan daripada jawatan itu, Encik Mohd Shukri Ramli.

Satu lagi iaitu jawatan Pengerusi PN Pahang yang sebelum ini dipegang AP Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, kini disandang pula oleh Timbalan Presiden PAS merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jawatan Pengerusi PN Melaka turut bertukar tangan apabila Ahli DUN Bemban, Dr Yadzil Yaakub, kini digantikan Ketua Wanita PN merangkap AP Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Datuk Azmin dalam kenyataan menyusuli mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang diterajui Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bagaimanapun tidak menyatakan sebab pemimpin berkenaan digugurkan.

Namun, langkah itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kontroversi semasa membabitkan Datuk Saifuddin, juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, susulan kritikan terbuka dan gesaannya pada 26 Oktober lalu agar Tan Sri Muhyiddin berundur daripada jawatan Presiden Bersatu.

Dalam gesaan itu Datuk Saifuddin mendakwa Tan Sri Muhyiddin yang juga Pengerusi PN sudah hilang mutu kepimpinan dan didesak memberi laluan kepada timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, untuk mengemudi Bersatu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), yang dijangka seawal 2026.

Datuk Saifuddin dalam satu kenyataan berkata pelantikan Tuan Ibrahim ke jawatan Pengerusi PN Pahang bertujuan memastikan kesinambungan kerja dan penyelarasan antara parti-parti komponen PN di Pahang.

“Saya menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Tuan Ibrahim. Walaupun saya bukan lagi Pengerusi PN Pahang, saya ingin menawarkan Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota terus digunakan sebagai Pejabat Sekretariat Wakil-Wakil Rakyat PN Pahang,” katanya.

Sementara Encik Mohd Shukri digugurkan dipercayai berpunca daripada kepimpinannya dalam PAS yang tidak cekap dan ditolak ahli akar umbi, selain kontroversi kes mahkamah membabitkan anak lelakinya, yang juga menantu kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Encik Mohd Shukri sebelum ini turut digugurkan sebagai Pesuruhjaya PAS Perlis pada rombakan kepimpinan PAS negeri sempena muktamar parti itu pada September lalu, dengan tempatnya digantikan veteran PAS yang juga Ahli Majlis Syura Ulama PAS, Encik Ahmad Ali.

Malah beliau turut gagal merebut tempat dalam pemilihan 18 Ahli Jawatankuasa PAS Pusat bagi sesi 2025-2027 yang menyaksikan Datuk Shahidan yang juga mantan menteri, berjaya berada pada kedudukan ke-14.

Bagaimanapun, Encik Mohd Shukri kemudian dilantik ke jawatan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Encik Mohd Shukri dalam satu hantaran di Facebook pada 28 Oktober, mengucapkan tahniah atas pelantikan Datuk Shahidan sebagai Pengerusi PN Perlis yang baru dan yakin beliau mampu membawa kejayaan untuk PN dalam PRU akan datang.

“Semoga dengan pelantikan ini Datuk Seri (Shahidan) akan terus memimpin dan memperkukuh perpaduan serta kekuatan PN di Perlis, sekali gus memastikan pentadbiran PN terus kekal mentadbir Perlis dan membawa kejayaan dalam PRU-16 kelak,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg