Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Gaji minimum RM1,700 tidak akan sebabkan tambang pengangkutan awam naik

Oct 21, 2024 | 2:14 PM
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke.
Menteri Pengangkutan Malaysia, Encik Anthony Loke. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan Malaysia memberi jaminan tambang pengangkutan awam tidak akan dinaikkan biarpun berlaku peningkatan dalam kadar gaji minimum menjelang Februari 2025.

Menterinya, Encik Anthony Loke, berkata ia berikutan kadar upah semasa bagi kakitangan di sektor itu sudah pun melangkaui penetapan kadar gaji minimum RM1,700 ($518) seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2025.

Beliau berkata jaminan itu turut mengambil kira sebarang permohonan peningkatan kadar tambang perkhidmatan terbabit perlu mendapat kelulusan kerajaan, sebelum sebarang penetapan baru boleh diperkenal kepada umum.

“Rata-ratanya gaji di sektor penerbangan sudah melebihi RM1,700. Saya rasa ini tidak akan ada kesan besar sebab sektor ini banyak membabitkan kerja teknikal yang memerlukan tenaga mahir dan terlatih.

“Di sektor pengangkutan awam lain, saya rasa kadar upah pemandu pun sudah melebihi RM1,700. Tambahan kadar tambang bas dikawal oleh kerajaan dan tidak boleh dinaikkan sesuka hati.

“Rata-rata upah pemandu hingga RM3,000 dan ke atas sebulan, jadi ia (penetapan gaji minimum baru) tidak memberi kesan besar kepada sektor ini. Malah, syarikat juga sukar mencari pemandu jika mereka menawarkan gaji RM1,700,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Global Aviation’s Premier Air Services Negotiation Event dekat sini pada 21 Oktober.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan Malaysia bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Namun, penangguhan diberikan bagi kuat kuasa gaji berkenaan membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Gaji minimum ini juga terpakai kepada semua pekerja termasuk pekerja bukan warga di sektor swasta kecuali khidmat domestik dan kontrak perantisan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg