KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak bercadang melaksanakan caj kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur ke atas kenderaan persendirian buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke.
Beliau berkata Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya sudah membincangkan perkara itu secara mendalam, dan mengambil maklum pandangan kementerian untuk memberi fokus kepada peningkatan mutu pengangkutan awam terlebih dahulu.
“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak dan belum bercadang untuk melaksanakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian buat masa ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada 25 Mac, lapor Harian Metro.
Encik Loke menjawab soalan Senator Tan Sri Low Kian Chuan yang ingin tahu jika kementerian berkenaan akan mempertimbangkan pelaksanaan cukai caj kesesakan itu.
Ebcik Loke berkata kajian pelaksanaan caj itu merangkumi mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik serta peningkatan penggunaan pengangkutan awam sedang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
MOT juga sedang melaksanakan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang, antara lain turut merangkumi kajian Origin-Destination dan diharap dapat dijadikan penanda aras untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam termasuk di negeri.
“Ini kerana, negara-negara maju hanya melaksanakan caj kesesakan selepas mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg