KUALA LUMPUR: Pelaksanaan caj kesesakan di Kuala Lumpur (KL) dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas terutama di kawasan pusat bandar (CBD) sehingga 20 peratus.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata jangkaan itu dibuat berdasarkan pelaksanaan caj kesesakan di ibu kota itu.
“Pengalaman dari bandar seperti London dan Stockholm menunjukkan bahawa pelaksanaan caj kesesakan mampu mengurangkan kesesakan sehingga 20 hingga 30 peratus, manakala kajian di New York dan Singapura mendapati sistem itu boleh menurunkan jumlah trafik sekitar 10 hingga 15 peratus.
“Selari dengan hasil kajian antarabangsa, jika caj kesesakan dilaksanakan di Kuala Lumpur, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan sekitar 20 peratus,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 27 Februari.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen (AP) Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin, yang ingin tahu perincian mekanisme caj kesesakan dalam mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di KL.
Dr Zaliha berkata perkara lain yang turut menjadi pertimbangan kerajaan adalah kadar caj kesesakan yang wajar dikenakan.
“Bagi memastikan caj kesesakan ini berjaya, kadar caj kesesakan tidak boleh terlalu rendah dan hendaklah ditetapkan kepada suatu nilai yang akan mendorong pengguna daripada melalui jalan terbabit.
“Tetapi kerajaan juga tidak mahu caj terbabit menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Berkongsi situasi kesesakan di KL, Dr Zaliha berkata purata kenderaan keluar masuk adalah sebanyak 1.5 juta sehari dan purata 24 jam dalam satu masa, terdapat enam juta kenderaan di dalam kota tersebut.
Dalam masa yang sama, katanya, jumlah pengguna pengangkutan awam di KL hanya 25 peratus.
“Pengguna jalan raya lebih memilih untuk membawa kenderaan sendiri berbanding menaiki pengangkutan awam disebabkan kelemahan dalam first mile – last mile (laluan perjalanan dari awal hingga akhir).
“Dalam hal ini, saya senada dengan Menteri Pengangkutan (Encik Anthony Loke) bahawa penguatkuasaan caj kesesakan tidak sesuai dilakukan sebelum sesebuah bandaraya mempunyai integrasi sistem pengangkutan awam yang lengkap,” katanya.
Dr Zaliha turut memaklumkan, hasil kajian dilakukan kerajaan mendapati selain Kuala Lumpur, dua lagi bandar raya di Malaysia yang berpotensi untuk pelaksanaan caj kesesakan adalah Georgetown dan Johor Bahru.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg