Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri: Kod QR diperluas kepada pengembara 63 negara mulai Jan 2026

Sistem kurangi masa pelepasan imigresen kepada 5 - 7 saat dari 15 - 25 saat guna pintu automatik sekarang; dapat tangani isu rasuah pegawai
Mar 4, 2025 | 4:11 PM
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto fail BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia merancang memperluas penggunaan Kod Respons Pantas (QR) kepada pengembara dari 63 negara, termasuk pemegang pas jangka panjang mulai 1 Januari 2026.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sistem Kod QR pada masa ini hanya tersedia bagi rakyat Malaysia.

“Tetapi ‘autogate pasport’ (pintu automatik) kita sudah membenarkan pengembara dari 63 negara, termasuk pemegang pas jangka panjang dan juga negara Asean, menggunakannya,” kata beliau semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hasan, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Datuk Saifuddin berkata sistem Kod QR, khususnya penggunaan aplikasi MyBorderPass, memanfaatkan kecerdasan buatan (AI), termasuk pengecaman wajah, imbasan iris, atau mata hitam, dan teknologi biometrik.

“Jadi isu ‘counter setting’ (tindakan rasuah pegawai imigresen membenarkan warga asing memasuki negara tanpa pemeriksaan sewajarnya dengan mengarahkan mereka melalui lorong yang telah ditetapkan di pintu masuk imigresen) dengan sendirinya akan dapat kita atasi sebab tidak ada pegawai ditempatkan di kaunter.

“Sekarang kita gunakan kira-kira 172 pegawai (Imigresen) pada satu-satu masa, tetapi apabila kita buat pemasangan (Kod QR) sepenuhnya nanti, hanya 68 orang dan kita akan ada pengurangan hampir 60 peratus.

“Jadi, segala macam penjimatan ini kita boleh alihkan tenaga kerja berkenaan ke tempat lain sebab kita akan pergi kepada penggunaan mesin sepenuhnya.

“Soal keselamatan data, pasport kita ini adalah antara 10 pasport paling dipercayai di dunia dari segi integriti pasport,” kata beliau, lapor Berita Harian Malaysia.

Datuk Saifuddin juga berkata aplikasi MyBorderPass pada masa depan akan membolehkan rakyat Malaysia memeriksa dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk mengetahui status perjalanan mereka.

“Pemakaian masa depan (aplikasi MyBorderPass ) nanti adalah memasukkan aplikasi itu di dalam telefon bimbit kita untuk membolehkan seseorang sebelum memulakan perjalanan, dia boleh semak dulu status LHDN.

“Jadi dia tidak tersangkut lagi dekat lapangan terbang.

“Dia boleh semak, kalau ada kes polis yang menghalangnya ke luar negara, dia boleh semak. Dia ada rekod PTPTN atau tidak.

“Semuanya menjadi ciri tambahan yang memberikan kemudahan maksimum kepada pengembara apabila sistem MyBorderPass ini kita laksanakan sepenuhnya nanti,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata kerajaan akan memperluas penggunaan kod QR bagi pelepasan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor kepada kereta pada 2025.

Ini setelah pelaksanaan sistem itu didapati mengurangkan kesesakan di Tambak Johor bagi penumpang bas dan penunggang motosikal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg