KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan memperluas penggunaan kod respons pantas (QR) bagi pelepasan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor kepada kereta pada 2025.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata proses mengumpul bukti untuk menyokong kebolehlaksanaan kaedah itu bagi penumpang bas dan penunggang motosikal dalam menangani kesesakan di Tambak Johor berjaya.
Seterusnya, kaedah itu akan diuji di lorong kereta.
“Dengan adanya segala usaha untuk meningkatkan perkhidmatan, menggunakan teknologi, penambahbaikan infrastruktur dan sistem, kita dapat mengurangkan (kesesakan) laluan kepada pengguna motosikal dan juga bas... dengan kod QR ini, hanya tiga saat dapat diselesaikan (pelepasan imigresen).
“Kita akan teruskan proof-of-concept (pembuktian konsep) ini untuk menggunakan kepada laluan kereta juga… jadi diharapkan itu akan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kita untuk keluar masuk rakyat ataupun pengunjung di Malaysia, terutamanya di Johor,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Fadillah berkata demikian kepada wartawan selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bilangan 1 Tahun 2025, di sini pada 3 Mac.
Beliau berkata dengan adanya hab pelaburan antara Malaysia dengan Singapura di Johor, Malaysia sebagai pengerusi Asean dan bagi persiapan Tahun Melawat 2026, tindakan segera perlu diambil dalam menangani kesesakan dan memastikan kelancaran di pintu masuk negara.
Selain itu, beliau berkata mesyuarat 3 Mac itu turut bersetuju secara prinsip jawatankuasa itu bukan hanya menumpukan kepada kemasukan di Johor malah semua pintu masuk antarabangsa negara.
Beliau berkata model yang diterapkan di Johor akan dijadikan rujukan bagi pelaksanaan di lokasi lain untuk memastikan kelancaran kemasukan pelawat dan pelabur.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata penggunaan kod QR bagi pelepasan imigresen di BSI dan KSAB yang mula dilaksanakan pada 2024 bagi motosikal dan penumpang bas telah dibuktikan berkesan.
Sebagai perbandingan, beliau berkata sebelum ini, 90 motosikal melepasi sesebuah lorong pemeriksaan dalam 15 minit, namun menerusi pelaksanaan kod QR, 150 motosikal dicatat melepasi lorong pemeriksaan dalam tempoh itu.
“Memandangkan kejayaan ini, perhatian kini diberikan kepada pengguna kereta, kerana setelah kesesakan bagi motosikal dan bas berkurangan, kini pengguna kenderaan persendirian menjadi kumpulan paling terkesan.
“Oleh itu, jawatankuasa akan turut berganjak mencari jawapan kepada kesesakan di pintu masuk lain seperti Rantau Panjang, Sadao, Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan pintu masuk udara seperti di KLIA, Pulau Pinang, Kota Kinabalu serta Kuching,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg