Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Khidmat Laluan Circle tergendala akibat gangguan isyarat

Feb 11, 2025 | 6:15 PM
Keadaan sesak di stesen MRT Serangoon berikutan kerosakan sistem isyarat antara stesen Paya Lebar dengan Marymount pada 8.11 pagi, yang menjejas operasi tren di lapan stesen.
Keadaan sesak di stesen MRT Serangoon berikutan kerosakan sistem isyarat antara stesen Paya Lebar dengan Marymount pada 8.11 pagi, yang menjejas operasi tren di lapan stesen. - Foto ST

Perjalanan penumpang tren di Laluan Circle (CCL) terjejas pada pagi 11 Februari, selepas kerosakan sistem isyarat menyebabkan gangguan kuasa dan tren terhenti di lapan stesen.

Warganet hangat membuat hantaran di media sosial mengenai kelewatan itu pada sekitar 8.20 pagi, dengan ramai berkata mereka terkandas di stesen seperti Serangoon, Tai Seng, Kent Ridge dan One-North buat sekurang-kurangnya lima minit.

Gambar yang dimuat naik warganet menunjukkan keadaan platform yang sesak di stesen Dhoby Ghaut, Serangoon dan Buona Vista.

Encik Ong Wei Jian, yang dalam perjalanan dari stesen Caldecott ke stesen Buona Vista, berkata beliau lewat ke tempat kerja selama 30 minit akibat gangguan itu.

“Saya tidak berasa kecewa atau marah kerana kelewatan tren seperti ini sudah menjadi perkara biasa sekarang, (tetapi) saya berharap pengendali khidmat mengumumkannya di media sosial sebaik sahaja masalah berlaku supaya penumpang seperti saya dapat merancang perjalanan lebih awal dan mengelak laluan MRT yang terjejas,” kata Encik Ong.

Dalam hantaran di Facebook pada 10.20 pagi, sekitar dua jam selepas aduan mengenai kelewatan tren muncul, SMRT memaklumkan bahawa kerosakan sistem isyarat berlaku antara stesen Paya Lebar dengan Marymount pada 8.11 pagi, lantas menjejas operasi tren di lapan stesen.

“Kerosakan itu menyebabkan tren terhenti, dan bekalan kuasa di sektor yang terjejas terputus,” kata SMRT, sambil menambah bekalan kuasa dipulihkan dalam masa lima minit dan pergerakan tren disambung semula pada 8.20 pagi.

“Namun, sistem tren automatik pusat beroperasi dengan perlahan, menjejas keupayaan pengawal untuk mengurus pergerakan tren dengan berkesan,” tambah SMRT lagi.

Pengendali tren itu turut memaklumkan bahawa keseluruhan CCL mengambil masa kira-kira 30 minit untuk kembali beroperasi seperti biasa.

“Semasa waktu sibuk pagi, stesen pertukaran utama seperti Serangoon, Buona Vista, Botanic Gardens dan Bishan biasanya memerlukan satu hingga dua tren untuk mengurangkan kesesakan,” kata SMRT, sambil menambah bahawa kelewatan kali ini memerlukan tiga tren untuk melancarkan aliran penumpang.

“Sebagai respons, kakitangan stesen telah dikerahkan untuk membantu penumpang, dan pengumuman awam dibuat di stesen yang terjejas,” tambahnya.

SMRT memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang.

Pembekal sistem, Alstom, akan mengusahakan pengemaskinian perisian dan sistem operasi bagi menangani isu ini mulai 15 Februari.

SMRT menambah proses itu tidak akan menjejas khidmat tren.

Pada 10 Februari, penumpang tren menghadapi kelewatan di Laluan Timur Laut (NEL) yang dikendalikan oleh SBS Transit semasa waktu sibuk pagi, akibat gangguan sistem isyarat.

Perjalanan di Laluan Utara-Selatan (NSL) dan Laluan Timur-Barat (EWL) – yang dikendalikan oleh SMRT – turut terjejas pada 7 Februari selepas sebuah kenderaan kejuruteraan tergelincir di Depoh Bishan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg