Suasana di Masjid Sultan pada 19 Disember begitu hiba, jauh berbeza daripada hari-hari biasa.
Laungan azan bergema yang menyentuh jiwa, membawa makna mendalam bagi sekitar 8,000 jemaah yang hadir untuk menunaikan solat zuhur dan solat jenazah bagi Allahyarham Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Tengku Mahid Jumat.
Ahli keluarga Allahyarham ditemani menteri, pemimpin masyarakat serta anggota masyarakat Melayu/Islam Singapura.
Perasaan duka menyelubungi hati masyarakat yang meratapi kehilangan seorang tokoh agamawan dan pemimpin yang dihormati.
Pemergian Allahyarham sehari sebelum itu pada usia 69 tahun meninggalkan kekosongan yang sukar diganti, dirasai bukan sahaja oleh keluarga dan orang tersayang, tetapi juga oleh ramai yang mendapat bimbingan dan inspirasi daripada ilmu serta ajaran beliau.
Apabila Berita Harian (BH) menghubungi anak-anak Allahyarham, anak kedua beliau, Ustaz Tengku Muhammad Fauwaz Jumat, bagi pihak keluarganya, memohon ruang peribadi untuk mereka sekeluarga.
Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Sultan sekitar 11.30 pagi untuk disembahyangkan sebelum disemadikan di Pusara Aman pada sekitar 3.30 petang.
Bacaan tahlil beramai-ramai turut diadakan sebelum solat zuhur.
Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir, dalam penyampaiannya sebelum menunaikan solat jenazah, berkata: “Allahyarham seorang tokoh yang telah banyak berjasa, berkorban dan beramal baik untuk kebaikan umat dan negara.”
Solat jenazah kemudian dipimpin oleh Ustaz Fauwaz, 32 tahun.
Apabila ditemui BH di Pusara Aman, Anggota Lembaga Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani, berkata:
“Sewaktu saya belajar di NUS, saya mengikuti kursus hujung minggu yang mana Ustaz Fouzy mengajar fiqh sunnah. Dari situ, beliau menjadi seorang tokoh yang membimbing dan jasa beliau bukan sahaja kepada masyarakat Islam kita, malah negara Singapura juga.”
Allahyarham memperjuangkan agama Islam dalam konteks majmuk Singapura – masyarakat Islam dapat menghayati dan mengamalkan agama serta dapat hidup aman dan harmoni dengan kaum lain, tambah beliau yang turut hadir di Masjid Sultan.
Di pusara, BH turut bertemu dengan seorang jemaah yang pernah mengikuti rombongan TM Fouzy Travel & Tours pada 2019, Haji Suratman Haji Hussein, 68 tahun.
Beliau, yang menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang sangat rendah diri, berkata: “Sumbangan Allahyarham terlalu banyak, ini termasuk menguruskan haji, mengajar di masjid-masjid dan memberi sokongan nilai-nilai Islam kepada umat Islam di Singapura.”
Menurut pihak Masjid Sultan, sekitar 8,000 jemaah hadir, memenuhi kedua-dua aras masjid, termasuk bangunan tambahan dan koridor di sekitar masjid.
Kehadiran sebanyak itu, menurut mantan Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Encik Suhaimi Salleh, menggambarkan betapa besar pengaruh dan jasa Allahyarham telah berikan kepada masyarakat.
“Ini juga mencerminkan sifat beliau sebagai seorang pemimpin agama yang bukan sahaja dihormati kerana ilmu pengetahuan yang dimilikinya, tetapi juga kerana akhlak dan keteladanan yang beliau tunjukkan dalam kehidupan seharian,” tambah Encik Suhaimi yang hadir di Masjid Sultan.
Semasa dihubungi, Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Dr Syed Harun Alhabsyi, berkata:
“Legasi dan sumbangan beliau kepada masyarakat jelas terserlah daripada jumlah orang yang datang untuk solat jenazah hari ini di Masjid Sultan.
“Ustaz akan dirindui bukan sahaja kerana ilmu agamanya, tetapi juga dari contoh luar biasa akhlaknya, keperibadiannya dan penekanan khususnya terhadap isu-isu kepentingan masyarakat. Pemergian beliau adalah kehilangan besar bagi masyarakat setempat.”
Presiden Mahkamah Syariah, Ustaz Irwan Hadi Mohd Shuhaimy, dalam catatannya di Instagram pada 19 Disember, menyifatkan kasih sayang Allahyarham terhadap masyarakat seperti “kasih seorang guru, pembimbing, dan tokoh bapa yang sentiasa mengambil berat tentang keadaan masyarakat yang dipimpinnya.”
Antara pemimpin masyarakat Melayu/Islam Singapura yang hadir di Masjid Sultan ialah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad; Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Mohamed Sa’at Abdul Rahman; Timbalan Pegawai Eksekutif Muis, Dr Albakri Ahmad.
Juga kelihatan di masjid itu ialah mantan Mufti, Ustaz Dr Mohamed Fatris Bakaram; Pengerusi bersama Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mohamad Hasbi Hassan; Presiden Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM), Dr Syed Harun Alhabsyi; mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar), yang juga Duta Singapura ke Kuwait (Bukan Pemastautin), Encik Zainul Abidin Rasheed; dan mantan Anggota Parlimen, Encik Amrin Amin.
Allahyarham, ustaz mapan yang juga pengarah urusan ejen penjualan (GSA) pakej haji TM Fouzy Travel & Tours, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tan Tock Seng (TTSH) pada 22 November selepas mengalami sesak nafas dan dikatakan berada dalam keadaan kritikal pada masa itu.
Allahyarham turut berkhidmat sebagai presiden Persatuan Agensi Pelancongan Islam Singapura (Amtas) selama lebih 15 tahun.
“
“Allahyarham seorang tokoh yang telah banyak berjasa, berkorban dan beramal baik untuk kebaikan umat dan negara.”“
“Ini juga mencerminkan sifat beliau sebagai seorang pemimpin agama yang bukan sahaja dihormati kerana ilmu pengetahuan yang dimilikinya, tetapi juga kerana akhlak dan keteladanan yang beliau tunjukkan dalam kehidupan seharian,”“
“Ustaz akan dirindui bukan sahaja kerana ilmu agamanya, tetapi juga dari contoh luar biasa akhlaknya, keperibadiannya dan penekanan khususnya terhadap isu-isu kepentingan masyarakat. Pemergian beliau adalah kehilangan besar bagi masyarakat setempat.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg