KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi membabitkan pempengaruh dan usahawan Malaysia, Khairul Aming.

Ia berikutan kebimbangan wujud akses tanpa kebenaran terhadap sistem dalaman sebuah syarikat telekomunikasi sehingga data membabitkan Khairul Aming didedahkan pengguna media sosial kepada umum.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata pihaknya memandang serius perkara itu kerana aduan yang dikongsi Khairul Aming di platform Threads memberi gambaran terdapat individu yang tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi pelanggan serta inventori atau sistem milik syarikat telekomunikasi terbabit.

“Saya sudah bertemu wakil syarikat telekomunikasi itu dan mereka memaklumkan sedang menghubungi saudara Khairul Aming.

“Saya juga akan meminta SKMM mendapatkan laporan penuh mengenai perkara ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026, di Kuala Lumpur, pada 21 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.

Terdahulu, di platform Thread, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, mempersoalkan bagaimana maklumat berkaitan bil telefon peribadinya boleh diketahui pihak lain, sehingga didedahkan secara terbuka di media sosial.

Pemilik restoran Rembayung itu meminta penjelasan daripada pihak syarikat telekomunikasi, mengenai dakwaan kebocoran maklumat bil telefon peribadinya yang dikaitkan dengan seorang pengguna media sosial.

Persoalan itu dibangkitkan selepas seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon Khairul Aming, termasuk menyatakan terdapat tunggakan sebanyak RM498 ($156.87), selain mengaitkannya dengan beberapa perkhidmatan tambahan (add-on digital purchase).

Dalam pada itu, Datuk Fahmi berkata penyebaran maklumat yang boleh mengenal pasti seseorang (personally identifiable information atau PII) tanpa kebenaran adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi.

Jelasnya tindakan boleh diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Berikutan itu, beliau meminta orang ramai yang mengalami insiden sama untuk membuat laporan kepada SKMM supaya pihak berkenaan mempunyai rekod, maklumat dan bukti bagi membolehkan tindakan susulan diambil.