Topik diikuti
Pergi ke BHkuMenteri: M’sia bakal hadapi tempoh kritikal bekalan bahan api jelang Jun
Menteri: M’sia bakal hadapi tempoh kritikal bekalan bahan api jelang Jun
Menteri: M’sia bakal hadapi tempoh kritikal bekalan bahan api jelang Jun
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang melaksanakan beberapa langkah bagi menangani masalah kekurangan bekalan bahan api yang tercetus akibat konflik di Timur Tengah, kata Menteri Ekonomi, Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir.
“Jun dan Julai akan menjadi tempoh sangat kritikal bagi memastikan ketersediaan bekalan bahan api,” kata Encik Akmal dalam kenyataan yang dilapor The Star.
Beliau menambah bahawa adalah sama penting untuk memastikan industri mempunyai bekalan bahan mentah lain yang mencukupi, termasuk bahan berasaskan minyak dan gas.
Encik Akmal merujuk kepada bahan-bahan yang digunakan dalam pembuatan ubat-ubatan dan peranti perubatan.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada awal April telah memberi isyarat bahawa negara tersebut mungkin menghadapi ketidaktentuan bekalan bahan api seawal Jun, sekali gus menyerlahkan kerentanan Malaysia terhadap krisis tenaga global.
Pada 7 April, Encik Akmal berkata kerajaan mempunyai bekalan stabil untuk tempoh April dan Mei, namun cabaran terbesar adalah untuk memastikan kelangsungan bekalan pada Jun dan bulan-bulan seterusnya.
Kerajaan kini sedang mengambil langkah untuk mempelbagaikan sumber bahan api serta memperkukuh hubungan dengan rakan dagang utama, katanya.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, memaklumkan bahawa peningkatan permintaan di beberapa kawasan telah menyebabkan gangguan bekalan sementara di beberapa stesen minyak, namun langkah bagi memulihkan bekalan sedang dilaksanakan.
“Saya ingin menegaskan bahawa bekalan bahan api negara masih stabil dan mencukupi,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada 11 April, sambil menambah bahawa pengguna harus meneruskan pembelian seperti biasa dan tidak perlu panik.
Sementara itu, agensi berita nasional Bernama melaporkan bahawa 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina baru-baru ini bukan berasal dari Malaysia, sekali gus menafikan laporan media Filipina.
Syarikat tenaga nasional, Petroliam Nasional (Petronas), dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak memeterai sebarang perjanjian pembekalan diesel dengan mana-mana pihak di Filipina.
Petronas turut menegaskan bahawa “keutamaan tertinggi syarikat tetap kepada memastikan bekalan bahan api yang stabil dan berterusan untuk pasaran Malaysia”. – Agensi berita.
