Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri M’sia: Permohonan VEP melonjak dalam tempoh sebulan

Jul 1, 2024 | 5:24 PM
Encik Anthony Loke
Encik Anthony Loke - Foto fail

PUTRAJAYA: Satu tunggakan melibatkan kira-kira 17,000 permohonan permit masuk kenderaan (VEP) akan diselesaikan dalam beberapa minggu akan datang, kata Menteri Pengangkutan, Encik Anthony Loke.

“Tunggakan itu disebabkan oleh lonjakan dalam permohonan apabila saya mengumumkan pada Mei bahawa VEP akan dikuatkuasakan mulai 1 Oktober.

“Sebanyak 23,649 permohonan dikemukakan dalam tempoh sebulan sahaja berbanding 15,422 permohonan sepanjang tahun lalu (2023),” kata beliau pada satu sidang media di sini pada 1 Julai, lapor The Star.

Beliau menambah, dalam tempoh sama, sebanyak 6,120 tag VEP dikeluarkan kepada pemohon, manakala 1,080 tag VEP diaktifkan.

Walaupun proses mendapatkan tag VEP mengambil masa antara tiga dengan lima hari selepas memohon, beliau berkata jumlah permintaan yang banyak menyebabkan kejadian tertunggak.

Mulai 1 Oktober, sesiapa yang memandu kenderaan bermotor asing tanpa VEP boleh didenda sehingga RM2,000 ($574) atau penjara sehingga enam bulan jika sabit kesalahan.

Dianggarkan 145,000 kenderaan melintasi Koswe antara Singapura dengan Malaysia setiap hari, menjadikannya salah satu lintasan sempadan darat paling sibuk di dunia.

Untuk menambah baik lagi proses itu, Encik Loke berkata permohonan VEP boleh dibuat dalam talian tanpa memerlukan tag sedia ada.

“Penerima diingatkan untuk mengaktifkan tag VEP dengan memuat naik gambar nombor pendaftaran kenderaan bersama tag VEP yang telah dilekat di https://vepams.jpj.gov.my selepas menerima tag VEP itu. Tag VEP tidak sah sekiranya tidak diaktifkan.

“Saya juga ingin memaklumkan permohonan untuk mendapatkan VEP masih boleh dibuat selepas tarikh penguatkuasaan pada 1 Oktober depan,” ujarnya lapor Harian Metro.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan (MOT) juga menambah baik sistem dan proses pendaftaran VEP yang mula dilaksanakan dalam portal VEP mulai 28 Jun dan akan meminimumkan keperluan untuk berurus secara e-mel atau di kaunter.

Antara penambahbaikan utama yang diperkenalkan termasuk pembatalan pendaftaran VEP boleh dibuat secara dalam talian; dan VEP yang tamat tempoh iaitu mencapai lima tahun dari tarikh pendaftaran akan dibatalkan secara automatik.

Selain itu, pembaharuan VEP boleh dibuat secara dalam talian tanpa perlu menunggu tag VEP sedia ada tamat tempoh; dan notifikasi akan dihantar kepada pemilik kenderaan 60 hari, 30 hari dan 10 hari sebelum tamat tarikh tempoh VEP.

Encik Loke berkata MOT juga menambah petugas untuk mengurus pertanyaan e-mel daripada lima kepada 15 orang dan pertambahan staf daripada tujuh kepada 12 orang di Pusat Pengambilan VEP.

“Ini akan bantu percepatkan proses menjawab sebarang pertanyaan melalui e-mel atau di kaunter yang meningkat berlipat ganda sejak pengumuman penguatkuasaan,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg