Malaysia berjaya memperoleh pengurangan tarif import Amerika Syarikat daripada 25 peratus sebelum ini kepada 19 peratus, tanpa menjejas sebarang hak kedaulatan negara itu.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (Miti), dalam satu kenyataan pada 1 Ogos menyebut, kadar 19 peratus tersebut hampir setara dengan kadar yang dikenakan ke atas negara lain di rantau Asia Tenggara dan ia dicapai tanpa menjejaskan hak kedaulatan Malaysia.
“Lebih penting, Malaysia telah bertegas mempertahankan beberapa ‘garis merah’ dan pencapaian kadar tarif 19 peratus ini tidak menjejaskan hak kedaulatan negara dalam melaksanakan dasar-dasar penting demi kestabilan dan pertumbuhan sosioekonomi negara,” kata Miti.
Amerika pada 1 Ogos secara rasmi mengumumkan penurunan kadar tarif ke atas barangan import dari Malaysia kepada 19 peratus, berkuat kuasa 7 Ogos.
Keputusan Amerika itu menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 31 Julai berbincang menerusi panggilan telefon dengan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengenai kadar tarif itu.
Menteri Miti, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata keputusan yang terhasil daripada rundingan teliti dan berstrategi mengenai tarif itu sejak 6 Mei lalu, mencerminkan hubungan ekonomi kukuh dan berterusan antara kededua negara sepanjang 60 tahun.
“Ia juga membuktikan kredibiliti Malaysia sebagai rakan dagang dan pelaburan Amerika yang dipercayai,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam menguruskan kesan tarif terbabit ketika prospek ekonomi sejagat semakin tidak menentu sejak Mac 2025, Miti memaklumkan ia akan terus bekerjasama rapat dengan kementerian dan agensi berkaitan bagi melaksanakan beberapa pendekatan, termasuk mengurangkan kesan tarif terhadap eksport Malaysia.
Miti turut menantikan usaha pengukuhan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Amerika, sebagai pasaran eksport terbesar Malaysia bernilai RM198.65 bilion ($60.2 bilion), serta sumber pelaburan asing terbesar, dengan pelaburan diluluskan bernilai RM32.82 bilion pada 2024.
Sementara itu, pelbagai pihak menyifatkan keputusan Amerika mengurangkan kadar tarif Malaysia sebagai bukti ketokohan Datuk Anwar dan suara Malaysia, mendapat pengiktirafan dunia.
Pengarah Dasar Kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Chan Foong Hin, berkata selepas beberapa bulan diplomasi yang sabar dan teliti, Amerika akhirnya mengumumkan pelarasan tarif lebih rendah iaitu 19 peratus, yang memulihkan daya saing industri utama Malaysia seperti industri sarung tangan getah dan perabot.
“Keputusan ini menunjukkan pendekatan diplomasi Datuk Anwar yang berstrategi dan sabar membuahkan hasil dan membuktikan bahawa usaha di belakang tabir boleh menghasilkan kejayaan sebenar,” katanya di Facebook.
Ahli Parlimen Bayan Baru (Pulau Pinang), Encik Sim Tze Zin, menyifatkan Datuk Anwar telah menggunakan tarikannya dalam mendapatkan pengurangan tarif import itu dan semakan kadar tersebut akan membolehkan Malaysia mengekalkan kelebihan daya saing ekonominya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg