KUALA LUMPUR: Prestasi perdagangan Malaysia bagi 2025 berada dalam landasan untuk mencapai sasaran pertumbuhan antara 4 dengan 5 peratus, meskipun prospek perdagangan sejagat dilihat semakin sederhana pada separuh kedua 2025.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata unjuran itu mengambil kira pencapaian pada separuh pertama 2025, selain beberapa langkah strategik yang sedang dilaksana bagi mengekalkan prestasi perdagangan.
“Jika dilihat kepada sasaran pertumbuhan kami, sekitar 4 hingga 5 peratus masih boleh dicapai.
“Bagaimanapun, pada separuh kedua 2025 yang telah pun bermula, kami melihat perdagangan global semakin sederhana dari segi pertumbuhan.
“Prestasi perdagangan Malaysia bagi 2025 masih berada dalam jangkaan.
“Seperti yang diketahui, unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) bagi pertumbuhan perdagangan pada 2025 adalah sekitar 5 peratus.
“Sementara itu, Kementerian Kewangan (MOF) mengunjurkan kadar pertumbuhan sekitar 3.9 peratus.
“Oleh itu, kerajaan akan terus memberi tumpuan untuk memastikan sasaran ini dapat dicapai,” katanya semasa satu sidang media bagi mengumumkan Kad Laporan Prestasi Miti Suku Kedua 2025 pada 15 Julai, lapor Berita Harian Malaysia.
Tengku Zafrul berkata fenomena pemuatan hadapan (front-loading) yang berlaku sejak lima bulan lalu (Februari) turut menyumbang kepada peningkatan kegiatan perdagangan, terutama menjelang tarikh akhir pengenaan tarif Amerika Syarikat pada 1 Ogos.
“Memang ada ‘front-loading’ dalam lima bulan kebelakangan ini, dan ia dijangka berterusan sedikit sebanyak menjelang Ogos.
“Namun saya berpendapat sebahagian besar kegiatan ini telah pun dilakukan,” jelasnya.
Mengenai rundingan perdagangan timbal balas dengan Amerika, Tengku Zafrul berkata Malaysia sedang giat memuktamadkan perbincangan mengenai tarif menjelang tarikh akhir 1 Ogos, namun menegaskan negara itu tidak akan bertolak-ansur terhadap permintaan yang dianggap tidak adil.
“Kami cuba menyelesaikan perkara ini sebelum 1 Ogos sekiranya boleh. Namun, ada isu-isu yang masih memerlukan masa kerana ia membabitkan banyak agensi dan kementerian.
“Kami juga sedang membuat pengiraan kesan terhadap eksport kami jika bersetuju dengan terma-terma tertentu, serta impak kepada hasil kerajaan.
“Rundingan akan diteruskan sehingga hujung bulan (Julai),” ujarnya.
Beliau menambah, antara isu yang menjadi perhatian utama adalah permintaan Amerika supaya Malaysia membuka sepenuhnya sektor strategik dengan membincangkan semula sekatan pegangan ekuiti asing.
Menurutnya, Malaysia mempunyai had pegangan ekuiti asing dalam beberapa sektor strategik yang masih dikekalkan demi kepentingan negara.
“Ada permintaan supaya kami membuka sektor-sektor ini.
“Bagi pihak kami, kami perlu mendapatkan pandangan industri sama ada kami bersedia untuk meniadakan sekatan maksimum pegangan ekuiti itu.
“Beberapa sektor telah pun dibuka sepenuhnya seperti perkilangan, tetapi sektor strategik lain masih mengekalkan had tersebut.
“Sebagai sebuah negara berdaulat, kami perlu kaji dengan teliti sebelum membuat keputusan,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg