Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengamat: Ringgit dijangka lemah jelang akhir Jun

Mar 17, 2025 | 5:37 PM
Setakat 2025, ringgit telah meningkat 0.6 peratus berbanding dolar Amerika.
Setakat 2025, ringgit telah meningkat 0.6 peratus berbanding dolar Amerika. - Foto ZAOBAO

MELBOURNE: Mata wang Asia paling berprestasi tinggi pada 2024 dijangka mengalami kemerosotan apabila peniaga bersiap sedia menghadapi risiko lebih tinggi bagi pemotongan kadar faedah di tengah-tengah ketegangan perdagangan.

Setelah bergerak dalam julat yang stabil pada 2025, ringgit Malaysia mungkin jatuh 4.6 bagi setiap dolar Amerika Syarikat menjelang akhir Jun, menurut penganalisis dari Credit Agricole dan Malayan Banking.

Mata wang tersebut telah mengekalkan kedudukan kukuh 0.3 peratus kepada 4.435 bagi setiap dolar Amerika pada perdagangan awal 17 Mac, mengurangkan kerugian minggu lalu.

Setakat 2025, ringgit telah meningkat 0.6 peratus berbanding dolar Amerika.

Sedolar Singapura didagangkan pada kadar RM3.3355 setakat 10.56 pagi pada 17 Mac, dengan mata wang republik itu telah naik 1.5 peratus berbanding ringgit pada 2025.

“Perdagangan sejagat yang semakin perlahan serta pertumbuhan di China dan Malaysia yang terjejas akibat tarif Trump (Presiden Amerika, Encik Donald Trump) boleh memaksa Bank Negara Malaysia untuk memotong kadar (faedah) pada akhir 2025,” kata Encik David Forrester, ahli strategi kanan di Credit Agricole Singapura.

Peniaga menjangka pengurangan sebanyak 25 mata asas dalam kadar dasar Bank Negara dalam tempoh 12 bulan, meningkat daripada hanya dua pertiga kebarangkalian pada awal Mac.

Tarif Amerika yang lebih tinggi terhadap China – rakan dagang terbesar Malaysia, akan memberi kesan buruk kepada ekonomi yang telah menunjukkan ketahanan di tengah ketegangan sejagat.

Sebarang tekanan ke atas yuan China mungkin memberi kesan negatif kepada ringgit, disebabkan hubungan ekonomi yang rapat antara kedua-dua negara. 

Tarif yang dirancang oleh Encik Trump, ke atas import cip elektronik juga mungkin memberi kesan buruk kepada eksport negara Asia Tenggara itu. 

Amerika adalah pasaran ketiga terbesar Malaysia untuk eksport semikonduktor, lapor The Straits Times (ST).

Namun, tekanan ke atas ringgit mungkin berkurangan berikutan peningkatan ramalan pemotongan kadar faedah oleh Lembaga Simpanan Federal Amerika disebabkan kebimbangan ekonomi Amerika akan merosot. 

Selain itu, kelemahan keunggulan ekonomi Amerika dijangka menyokong pergerakan ringgit ke arah 4.35 bagi setiap dolar menjelang akhir tahun, kata Encik Saktiandi Supaat, ketua penyelidikan FX di Maybank.

Bank pusat Malaysia mengekalkan kadar dasar tidak berubah pada mesyuarat Mac, dengan alasan ekonomi yang kukuh.

Walaupun ringgit akan dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan negara luar, bank pusat berkata prospek ekonomi yang menggalakkan dan pembaharuan struktur domestik, disokong oleh inisiatif berterusan untuk menggalakkan aliran modal, akan terus menyokong ketahanan mata wang tersebut.

Pakar ekonomi yang ditemu bual pada November meramalkan bank pusat akan kekal dengan polisi kadar tidak berubah sepanjang 2025. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg