SEREMBAN: Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP), Encik Anthony Loke, menyarankan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) membabitkan kedua-dua peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan serentak di semua negeri Semenanjung.
Walaupun pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah bawah hak dan kuasa peringkat negeri masing-masing, beliau berkata cadangan itu wajar dipertimbangkan bagi menjimatkan kos dan menyelaraskan tempoh penggal.
“Biasanya, pilihan raya peringkat Parlimen serta DUN memang diadakan serentak kecuali di Sabah dan Sarawak yang mana keadaannya berlainan.
“Ia (pilihan raya serentak) akan dapat menjimatkan kos, selain penggal dapat diselaraskan.
“Memang ada pertimbangan berlainan kerana DUN di negeri-negeri ada kuasa dan hak untuk menentukan bila boleh dibubarkan tetapi bagi saya, kerajaan negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) harus dapat berbincang dengan Kerajaan Persekutuan terutama Perdana Menteri supaya PRU16 diadakan serentak,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Sembilan Kali Ke-23 yang turut dihadiri Menteri Besar merangkap Pengerusi PH negeri, Datuk Seri Aminuddin Harun, di sini, pada 21 September.
Mengulas lanjut, Encik Loke, yang juga Menteri Pengangkutan, menjelaskan kerajaan Malaysia terpaksa memperuntukkan dana besar bagi melaksanakan proses pilihan raya.
“Justeru jika diadakan serentak, semua perkara berkaitan boleh dijalankan sekali. Kos logistik dapat dikurangkan,” jelasnya.
Beliau berkata ia juga seiring usaha DAP dan PH untuk memaksimumkan peluang parti berkenaan memenangi pilihan raya kelak, tambahan pula persiapan mental serta fizikal sudah dilakukan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah tidak lama lagi.
Namun katanya perkara itu belum dibincangkan secara rasmi sama ada dalam kalangan anggota DAP mahupun rakan gabungan PH, selain ia adalah kuasa prerogatif Perdana Menteri.
Namun, beliau berkata DAP bersiap siaga termasuk untuk menghadapi kemungkinan PRU16 diadakan lebih awal.
“Dari segi kelaziman, parti kita memulakan persiapan menghadapi pilihan raya selepas tempoh penggal melepasi separuh atau tiga tahun,” katanya.
Untuk rekod, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berlangsung pada 19 November 2022, namun tidak serentak dengan PRN beberapa negeri di Semenanjung ketika itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg