Dua parti komponen utama dalam blok pembangkang – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) – sudah selesai mengadakan himpunan tahunan masing-masing pada September.
Namun begitu, apa yang lebih mencuri perhatian di media bukanlah ketetapan dua parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) itu dalam menangani isu rakyat.
Sebaliknya, ia lebih kepada ‘perebutan’ mengenai siapakah yang sepatutnya mengemudi PN untuk bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-16 (PRU16) nanti dan siapa menjadi perdana menteri seterusnya selepas PRU itu.
Kededua parti dilihat ‘berperang mulut’ dalam dua hal berkenaan.
Di sebalik imej gabungan pembangkang yang nampak bersatu, wujud perselisihan halus namun signifikan antara Bersatu dengan PAS.
Langkah Bersatu mengumumkan Pengerusi PN yang juga Presiden dan pengasas Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, 78 tahun, sebagai calon perdana menteri yang bakal memimpin kerajaan PN jika blok itu memenangi PRU16 kelak, dilihat mengundang rasa kurang senang PAS.
Bersatu membuat pengumuman itu pada Persidangan Agung Tahunan (PAT) ke-8 parti itu di Shah Alam, Selangor, pada 6 dan 7 September.
PAS yang baru selesai mesyuarat agung tahunannya yang dinamakan Muktamar PAS kali ke-71 di Alor Setar, Kedah, berakhir pada 16 September lalu pula, menyifatkan tindakan Bersatu menamakan calon perdana menteri dalam PAT itu sebagai melangkaui keputusan yang sepatutnya dibuat dalam Majlis Tertinggi PN.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pantas membidas bahawa PN mempunyai empat wakil parti komponen yang mempunyai hak sama rata dalam berbincang dan membuat keputusan mengenai calon perdana menteri daripada PN.
PAS nampak semakin yakin untuk mengambil alih kepimpinan PN menggantikan Bersatu, yang kini dilihat semakin hilang pengaruh.
Pada masa yang sama, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, turut berpandangan bahawa calon perdana menteri harus berusia 70 tahun ke bawah dan dalam keadaan sihat.
Ia sekali gus membayangkan ‘penolakan’ terhadap pencalonan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon perdana menteri seterusnya daripada PN.
Pengamat politik yang baru bersara daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, berkata daripada perspektif demokrasi, tuntutan PAS adalah wajar memandangkan parti itu mempunyai kerusi terbanyak dalam PN dan menguasai empat negeri (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis), selain sokongan akar umbi yang kukuh.
“Kalau dikira daripada sudut demokrasi, ia tidak menjadi isu sebab PAS memenangi lebih banyak kerusi pada PRU15 lalu.
“Dalam Parlimen (Dewan Rakyat) pun PAS memang parti yang paling banyak kerusi.
“Jadi PAS memang mahu haknya untuk kemudi PN. Bagi pandangan saya, sepatutnya Bersatu kena mengalah,” katanya kepada Berita Harian (BH).
Pandangan itu disokong pemerhati politik daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Wan Mohd Nazri Wan Daud.
“Jika diikutkan pengalaman dan kedudukan lebih 70 tahun di pentas politik, memang PAS layak kemudi PN,” katanya kepada BH.
Namun Dr Wan Mohd Nazri menegaskan bahawa walaupun PAS wajar mengetuai PN berdasarkan jumlah kerusi dan pengaruh akar umbi, isu utama adalah ketiadaan tokoh yang menyerlah daripada parti itu untuk diketengahkan sebagai calon perdana menteri.
“Apabila Tan Sri Abdul Hadi sendiri menolak untuk jadi calon perdana menteri, ia menunjukkan bahawa tiada siapa dari PAS yang layak.
“Sekali pun jika contohnya, Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, layak untuk jawatan perdana menteri itu selepas PRU16, mungkin sukar untuk beliau mengemudi negara kerana jawatannya hanya naib presiden.
“Mana-mana parti pun apabila presidennya orang lain, perdana menteri orang lain, memang akan jadi masalah,” katanya.
Beliau memberi contoh masalah dihadapi ketika mantan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjadi perdana menteri 15 bulan sejak Ogos 2021 hingga November 2022, sedangkan Presiden Umno ketika itu ialah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Akhirnya kerajaan itu tumbang dan keadaan sama tidak mustahil boleh berulang jika calon daripada PAS dinamakan sebagai Perdana Menteri daripada PN seterusnya,” kata Dr Wan Mohd Nazri.
Kedua-dua pengamat turut menekankan isu kelemahan Bersatu dalam memimpin PN, termasuk berdepan kekurangan dana akibat akaun bank dibekukan berikutan siasatan kes mahkamah yang membataskan kelancaran gerak kerja, sebagai faktor yang memberi peluang kepada PAS.
Profesor Dr Ahmad Fauzi menekankan ramai anggota Bersatu dilihat tidak berpuas hati dengan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin, sementara Dr Wan Mohd Nazri menambah bahawa jika PAS terus mendesak untuk mengetuai PN, Bersatu mungkin terpaksa akur.
Profesor Dr Ahmad Fauzi juga menjelaskan bahawa pengumuman Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri mendapat reaksi daripada PAS yang akhirnya mengambil langkah sama dengan mengumumkan calon mereka yang jelas menunjukkan kedua-dua parti memerlukan rundingan dalaman bagi mengelak perpecahan.
“Pada pandangan saya, PAS perlu menyelesaikan isu kepimpinan dalaman mereka dahulu kerana jika tidak, ‘perebutan kuasa’ ini boleh menimbulkan ketidaktentuan dalam kerajaan sekiranya PN menang PRU16 nanti,” kata Dr Wan Mohd Nazri pula.
Dr Wan Mohd Nazri merujuk kepada kedudukan tokoh pemimpin dalam PAS yang layak diangkat sebagai calon perdana menteri seperti, Datuk Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang lebih berimej sederhana.
“Ini penting kerana untuk memenangi PRU akan datang, PAS perlu memenangi pengundi atas pagar yang merangkumi kira-kira 30 peratus daripada jumlah yang layak mengundi, selain menarik pengundi bukan Melayu sebagai antara penentu kemenangan PN dalam PRU akan datang,” katanya.
Profesor Dr Ahmad Fauzi juga menekankan perkara sama bahawa PAS perlu memaparkan tokoh-tokoh mesra bukan Melayu dan bukan Muslim dalam memastikan calon perdana menteri daripada parti itu dapat diterima di peringkat nasional, bukan hanya empat negeri dikuasai PAS.
Dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dijangka pada Oktober ini dan PRU yang semakin hampir dan diramal sebelum 2028, perebutan kuasa dalaman PN kini menjadi isu utama yang bakal menentukan strategi parti pembangkang dan imej mereka di mata pengundi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg