Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Menteri tegur lirik lagu lucah, beri amaran industri hiburan patuhi garis panduan

Jan 2, 2026 | 4:29 PM
Menteri, Agama, beri, amaran
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan. - Foto fail

Selepas satu kumpulan pop wanita ditegur kerana berpakaian menjolok mata dalam video muzik pada November 2025, kali ini, Menteri Bertanggungjawab Dalam Hal Ehwal Agama menegur soal lagu yang dikatakan berlirik lucah pula. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, mengeluarkan peringatan supaya semua pemain industri hiburan, khususnya bidang nyanyian, agar mematuhi garis panduan yang ditetapkan mengenai lirik hiburan.

“Semua penggiat seni, penerbit, pengkarya dan pihak berkaitan perlu mematuhi Garis Panduan Hiburan Dalam Islam (Edisi Kedua) yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke-107 pada Februari 2015.

“Garis panduan itu jelas menetapkan lirik hiburan hendaklah bebas daripada unsur lucah, maksiat, penghinaan, manipulasi kalimah suci Islam serta perkara yang bercanggah dengan syarak dan nilai kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Zulkifli tidak menamakan secara terbuka artis yang ditegur dan berharap teguran itu diterima dengan hati yang terbuka demi kebaikan bersama dan kesejahteraan masyarakat.

Bagaimanapun, semakan di media sosial mendapati ia mungkin merujuk kepada lagu baru seorang penyanyi dangdut wanita, yang liriknya dikatakan berunsur lucah dan tidak bersesuaian sehingga mengundang reaksi kurang senang masyarakat.

Dr Zulkifli menambah Islam menuntut umatnya supaya menjaga kesucian lidah, pendengaran serta hati, manakala ajaran agama mengingatkan agar setiap perkataan yang diucapkan membawa kebaikan, selain tidak merosakkan maruah dan akhlak insan.

“Islam meraikan karya seni dan keindahan tetapi seharusnya ia menjadi wasilah mendidik, menenangkan jiwa dan menyebarkan nilai murni, bukan sebaliknya,” katanya.

Beliau turut menambah, hiburan yang baik adalah hiburan yang membina jiwa serta memperkukuh akhlak dan bukannya yang melalaikan atau merosakkan.

Sebelum ini, pada November 2025, mantan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’m Mokhtar, dalam nada tegas menegur pemakaian ahli kumpulan Dolla dalam video muzik lagu, Question, yang disifatkan sebagai tidak sesuai, selain tidak menghormati sensitiviti budaya dan agama di Malaysia.

Ketika itu, beliau berkata pihaknya meneliti kemungkinan mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap anggota kumpulan itu yang beragama Islam.

Selain dua anggota bukan Muslim, iaitu Tabby (Tabitha Ariel Lam Lianne) dan Angel (Angeline Chai Ka Ying), kumpulan Dolla yang terkenal dengan imej seksi turut dianggotai seorang anggota beragama Islam, yang dikenali sebagai Sabronzo atau nama sebenarnya, Wan Sabrina Wan Rusli.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg