KANGAR: Jabatan Kesihatan Perlis mengesahkan berlaku insiden seorang lelaki didakwa menyamar sebagai Penolong Pegawai Perubatan (PPP) di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, awal April ini.
Pengarah Kesihatan Perlis, Dr Ghazali Chik, berkata kejadian itu dilaporkan berlaku di HTF pada 8 April lalu.
“Hasil siasatan kita mengesahkan insiden itu benar berlaku di pekarangan HTF pada 9.28 malam. Individu itu dikenal pasti sebagai orang awam berusia 23 tahun.
“Individu itu juga didapati lengkap beruniform PPP dan mempunyai beg peralatan perubatan. Suspek mengaku membeli seragam PPP dan peralatan perubatan berkenaan melalui platform dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 April, lapor Berita Harian Malaysia.
Dr Ghazali berkata suspek dikata melakukan perbuatan itu kerana mempunyai minat mendalam terhadap profesion berkenaan.
Susulan itu, katanya, HTF mengambil tindakan segera dengan memaklumkan kepada pengurusan tertinggi jabatan pada hari sama.
Selain itu, beliau berkata satu laporan polis dibuat pada 9 April lalu berhubung insiden berkenaan.
“Tindakan lanjut terhadap pelaku diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Beliau berkata pihaknya memandang serius perkara itu dan mengarahkan HTF untuk memperketatkan pemantauan keselamatan di seluruh kawasan hospital.
“Kita juga ingin mengingatkan orang ramai bahawa penyamaran sebagai penjawat awam adalah satu kesalahan jenayah mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang kakitangan HTF mengesan seorang lelaki tidak dikenali didakwa menyamar sebagai PPP bersama kelengkapan perubatan di hospital itu, 8 April lalu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg