Singapura “amat prihatin” mengenai perkembangan baru-baru ini di Timur Tengah, termasuk pembunuhan pemimpin politik kumpulan Hamas, Encik Ismail Haniyeh, di Iran yang terlibat dalam rundingan gencatan senjata di Gaza, ujar Kementerian Ehwal Luar (MFA).
Memberikan komen mengenai situasi di Timur Tengah pada 1 Ogos, seorang jurucakap MFA berkata: “Ini meletakkan risiko pada usaha mencapai satu persetujuan gencatan senjata yang akan membolehkan pembebasan semua tebusan dan memudahkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam.
“Singapura menyeru semua pihak supaya mengambil langkah-langkah meredakan ketegangan bagi mengelakkan peningkatan ketegangan dan konflik serantau yang lebih luas.”
Encik Haniyeh dibunuh pada 31 Julai di Teheran, ibu negara Iran, mengakibatkan krisis di Timur Tengah menjadi lebih membara.
Dalam pada itu, pegawai Amerika Syarikat masih berusaha untuk mencapai persetujuan gencatan senjata di Gaza tetapi mengakui usaha tersebut kini lebih sukar daripada sebelumnya, selepas pembunuhan yang disyaki dilakukan oleh Israel itu.
Demikian menurut sumber yang biasa dengan pemikiran pentadbiran Presiden Joe Biden.
Usaha berbulan-bulan Amerika untuk menghentikan perang Israel-Hamas dan membebaskan tebusan Israel kini dipersoal selepas serangan peluru berpandu di Teheran yang membunuh Encik Ismail.
Beliau adalah wakil utama kumpulan Palestin itu dalam rundingan gencatan senjata itu.
“Serangan itu, walaupun mempunyai asas, akan menjadi sebab kemunduran dalam perbincangan,” kata Cik Emily Harding, bekas pengarah untuk Iran di Majlis Keselamatan Amerika dan sekarang pakar di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa.
“Israel berada di bawah tekanan besar untuk membawa pulang tebusan yang masih ada, jadi mereka pasti telah mempertimbangkan bahawa manfaat operasi membunuh Encik Haniyeh lebih besar daripada prospek kejayaan pertukaran tebusan.”
Negara Arab utama yang terlibat dalam rundingan gencatan senjata itu juga menyatakan bahawa pembunuhan tersebut menyulitkan usaha mencapai gencatan senjata antara Israel dengan Hamas, yang ditetapkan oleh Amerika sebagai sebuah pertubuhan pengganasan.
Mesir, yang bertindak sebagai pengantara rundingan gencatan senjata, berkata masa dan kekurangan kemajuan dalam rundingan menunjukkan “kekurangan kemahuan politik Israel untuk menenangkan situasi”.
Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, menulis di plaform X: “Pembunuhan politik dan berterusan menyasarkan orang awam di Gaza sementara perbincangan diteruskan membawa kita bertanya, bagaimana pengantaraan boleh berjaya apabila satu pihak membunuh perunding pada pihak lain?”
Serangan itu diandaikan dilakukan oleh Israel, lapor Reuters, tetapi tiada siapa yang telah mengaku bertanggungjawab ke atasnya.
Pemerintah Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata ia tidak akan membuat sebarang ulasan mengenai pembunuhan itu.
Selepas serangan oleh Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, Encik Netanyahu berikrar akan menghapuskan setiap pegawai Hamas.
Mencapai perjanjian gencatan senjata menjadi dasar pentadbiran Biden selama beberapa bulan, dan pentadbiran itu tampaknya tidak mempunyai jalan alternatif.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg