MetMalaysia: Cuaca panas 15 kawasan di Semenanjung pada tahap satu dan dua
MetMalaysia: Cuaca panas 15 kawasan di Semenanjung pada tahap satu dan dua
Tahap gelombang haba adalah suhu maksimum harian yang berada antara 37 dengan 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan status cuaca panas di Padang Terap, Kedah, berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 dengan 40 darjah Celsius.
MetMalaysia dalam satu kenyataan pada 22 Mac memaklumkan sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) termasuk di seluruh Perlis serta kawasan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) dan Rembau (Negeri Sembilan), lapor Berita Harian Malaysia.
Menurut kenyataan itu, tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian yang berada antara 37 dengan 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut dan bagi tahap berjaga-jaga pula, suhu maksimum harian antara 35 dengan 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Sementara itu, menerusi hantaran di laman Facebook, MetMalaysia turut merakamkan ucapan Selamat Menyambut Hari Meteorologi Sedunia yang disambut pada 23 Mac dengan tema, ‘Pemantauan Hari ini, Perlindungan Hari Esok’.
Menurut jabatan itu, tema berkenaan menekankan kepentingan teknologi dan usaha pemantauan meteorologi yang tepat serta terkini dalam melindungi kehidupan dan alam sekitar untuk generasi akan datang.
“Melalui pemantauan cuaca yang dilakukan hari ini, kita dapat membuat ramalan yang lebih berkesan, mengeluarkan amaran awal serta mengambil tindakan pantas bagi mengurangkan risiko bencana alam dan kesan perubahan iklim.
MetMalaysia turut meraikan Ulang Tahun ke-68 keahlian Malaysia dalam Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WHO), satu pencapaian yang mencerminkan iltizam negara dalam menyumbang kepada kerjasama sejagat demi kesejahteraan masyarakat dan kelestarian bumi.
Menerusi hantaran berasingan, Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip, merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga kerja jabatan itu yang berdedikasi serta memberi komitmen berterusan dalam melaksanakan pemantauan serta pelepasan belon cuaca setiap hari.
“Dalam kesibukan tugas harian, ketika ramai sedang tidur diulit mimpi, warga MetMalaysia tetap teguh menjalankan amanah, memantau dan meramal cuaca demi memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan istimewa kepada penyelidik cuaca dan iklim yang menyumbang kepada pemahaman tentang corak cuaca masa lalu sekali gus membimbing usaha ke arah masa depan yang lebih lestari.
Untuk maklumat terkini status cuaca panas harian, orang ramai boleh merujuk ke pautan, https://bh.sg/cuaca

