KUALA LUMPUR: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB) yang ditumpaskan baru-baru ini, dikesan merekrut anggota mereka menggunakan wadah media sosial serta aplikasi WhatsApp dan Telegram.
Ketua Polis Malaysia, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata gerakan itu dipercayai mempunyai keanggotaan seramai 100 hingga 150 orang terdiri daripada warga Bangladesh, dan mengenakan yuran keanggotaan RM500 ($150) setiap seorang untuk setahun.
“Media sosial digunakan bagi menyebarkan propaganda, melaksanakan proses baiah (sumpah setia) dan menyusun aktiviti rahsia termasuk pengajian agama serta perjumpaan anggota.
“Anggota yang melafazkan baiah dalam talian dilantik sebagai ketua sel untuk memperluaskan pengaruh dan pengambilan ahli dilakukan secara berfasa bermula saringan keanggotaan hingga membentuk kelompok elit,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, Kuala Lumpur, pada 4 Jun, lapor Kosmo!
Datuk Mohd Khalid berkata kegiatan kumpulan itu berjaya dikesan pihaknya menerusi akaun media sosial yang menggunakan alamat Internet Malaysia dan aktif menyebarkan fahaman radikal.
Menurutnya, seramai enam individu ditahan dalam operasi fasa pertama pada 28 April di Selangor yang mendedahkan struktur GMRB yang berpangkalan di Johor.
“Fasa kedua pada 7 Mei lalu yang mana operasi diteruskan di Johor. Kita berjaya menahan 14 individu termasuk ketua kumpulan GMRB.
“Bagi fasa ketiga pada 19 hingga 21 Jun, seramai 16 individu ditahan sekali gus menutup rangkaian utama GMRB yang beroperasi di negara ini,” katanya.
Datuk Mohd Khalid juga mengesahkan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam GMRB itu yang dipercayai aktif sejak setahun lalu.
Menurutnya, Malaysia bukan negara sasaran atau transit untuk melaksanakan kegiatan pengganasan, sebaliknya destinasi untuk mencari pekerjaan sebagai buruh di kilang, sektor pembinaan dan perkhidmatan.
“Wang yang dikumpul akan disalurkan ke luar negara menggunakan aplikasi e-dompet selain perkhidmatan penghantaran wang antarabangsa.
“PDRM akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Bangladesh dan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Pada 27 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan PDRM menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 warga Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman pelampau dan ideologi pengganasan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg