KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan seorang pegawai kewangan Felcra di Baling, Kedah, sejak hampir sebulan lalu akhirnya terjawab apabila polis mengesahkan mangsa dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap, Jitra, Kedah, dan masih belum ditemui setakat ini.
Memilukan apabila keluarga yang menantikan kepulangan Encik Sabari Baharom, 62 tahun, sejak 3 September lalu terpaksa menerima hakikat duka mangsa diperlakukan dengan kejam mulutnya ditutup dengan pita pelekat dan tangannya diikat sebelum dicampak ke sungai.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata tanda tanya kehilangan mangsa terungkai selepas polis menahan dua lelaki berusia 26 dan 38 tahun pada 27 September lalu, yang membawa kepada pengakuan suspek bahawa mangsa telah dicampakkan ke dalam Sungai Padang Terap.
“Bagaimanapun, sehingga kini mangsa masih belum dijumpai dan usaha mencari masih dijalankan. Siasatan yang sebelum ini dilakukan berkaitan kes orang hilang kini dilanjutkan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya, lapor Harian Metro.
Polis dilaporkan turut membawa suspek yang bergari ke tempat kejadian dan usaha mencari mangsa giat dilakukan oleh polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat di sungai di Kampung Empa, Jitra, Kedah, itu sejak 29 September.
Pemerhatian di tempat kejadian mendapati beberapa bot polis memantau kawasan sungai, selain mendirikan khemah di situ.
Sementara itu, anak bongsu Encik Sabari, Encik Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25 tahun, menyifatkan tindakan yang dilakukan suspek terhadap bapanya sangat kejam dan keterlaluan.
Menurutnya berdasarkan makluman polis, suspek warga tempatan yang ditahan dipercayai kontraktor yang menjalankan kerja pembinaan sebuah rumah yang terletak berhampiran rumah bapanya di Baling, Kedah.
“Saya difahamkan ayah juga melayan suspek iaitu seorang kontraktor dengan baik. Katanya, suspek dipercayai baru saja menjalankan kerja pembinaan di situ kira-kira lima bulan lalu,” katanya.
Sebelum ini keluarga Encik Sabari mengesyaki beliau dilarikan individu tidak dikenali berikutan berlaku beberapa pemindahan wang ke akaun bank pihak ketiga dalam tempoh dua hari selepas kehilangannya sejak 3 September.
Penelitian pihak polis melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pada 4 dan 5 September lalu, kelihatan seorang wanita tempatan melakukan transaksi wang daripada akaun bank Encik Sabari.
Selain itu, kereta yang dipandu Encik Sabari pada hari kehilangannya turut ditemui dalam keadaan terbakar di Belantik, Sik, Kedah, oleh penduduk kampung.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg