SEREMBAN: Semua 23 aktivis dan sukarelawan dari Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, lebih awal menandatangani borang permohonan pelepasan segera sebagai persediaan sekiranya ditahan tentera Israel.
Mendedahkan demikian, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ia adalah prosedur operasi standard (SOP) dan sebahagian daripada syarat awal ditetapkan sekretariat penganjur misi berkenaan sebelum mereka menyertai GSF, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa tindakan menandatangani borang permohonan pelepasan segera itu dapat mempercepatkan proses dokumentasi bagi penghantaran pulang selepas ditahan rejim Israel, bukannya tanda menyerah kalah.
“Kita minta semua peserta tandatangan borang permohonan pelepasan mengakui mereka telah memasuki kawasan atau Israel secara tidak sah. Dengan menandatangani borang itu, proses pelepasan mereka selepas ditahan dapat dicepatkan dan dapat dibawa keluar dengan segera dari Israel.
“Ini memudahkan bagi kita mengurus dan mengeluarkan mereka dengan bantuan dari negara-negara sahabat,” katanya yang ditemui pemberita ketika hadir Karnival Mawlid di Masjid Sheikh Haji Ahmad di Bandar Sri Sendayan pada 5 Oktober.
Beliau menambah, GSF bukan berunsur keganasan, sebaliknya misi keamanan untuk membantah kekejaman rejim Israel.
“Mereka tidak membawa senjata, jadi jangan salah faham. Ada yang kata kita menyerah, tapi ini bukan kekalahan – ia adalah diplomasi yang lembut dan diam,” katanya.
Datuk Mohamad berkata, menandatangani borang pelepasan itu juga memudahkan urusan diplomatik memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Israel dan hanya meminta bantuan daripada negara rakan termasuk Turkey, Jordan dan Mesir.
“Hasilnya seperti yang berlaku semalam, semua 23 rakyat Malaysia yang ditahan telah berjaya dikeluarkan atas jasa baik dan kerjasama diberikan pemerintah Turkey. Mereka dibawa keluar melalui penerbangan khas Turkey TK1962 dari lapangan terbang di selatan Israel terus ke Istanbul.
“Dari situ pihak kedutaan Malaysia yang sedia menunggu kemudian menguruskan mereka menginap satu atau dua malam (di Istanbul) sebelum dihantar balik ke Kuala Lumpur,” katanya menjangkakan 23 sukarelawan Malaysia itu mungkin tiba pada 6 Oktober.
Mengenai gelombang ketiga Misi Freedom Flotilla Coalition pula, Datuk Mohamad berkata, kerajaan akan terus memantau pergerakan mereka yang kemungkinan ketika ini sudah memasuki zon merah.
“Kita akan berhubung dengan pemerintah-pemerintah sahabat seperti Jordan, Mesir dan beberapa negara lain bagi mendapatkan perkembangan terkini misi berkenaan. Selain itu, ada beberapa negara ASEAN mempunyai kedutaan di Tel Aviv dan kita telah diberi jaminan akan diberi bantuan, apa juga yang diperlukan, insya-Allah,” katanya.
Pada 2 Oktober, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis selepas kapal mereka dipintas ketika berada di perairan Zon Merah R3, di Laut Mediterranean, seterusnya dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg