Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Flotila Gaza: M’sia mohon bantuan Turkey bawa keluar sukarelawan

Semua 23 delegasi sukarelawan M’sia telah ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa
Oct 3, 2025 | 5:36 PM
Malaysia, Anwar, bantuan, Turkey
Gambar menunjukkan antara 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Global Sumud Flotilla, ditahan di perairan antarabangsa oleh pasukan pertahanan Israel. - Foto BULETIN TV3

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan segala daya upaya sedang digembleng bagi memastikan semua aktivis dan sukarelawan Malaysia dalam misi kemanusiaan ke Gaza, Global Sumud Flotilla (GSF), dibebaskan segera tanpa sebarang tolak ansur.

Setakat ini, Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) di Sepang, Selangor, telah mengesahkan semua 23 delegasi sukarelawan Malaysia telah ditahan Angkatan Pertahanan Israel (IDF) di perairan antarabangsa sehingga 4.25 petang, 2 Oktober.

Dilaporkan Datuk Anwar sudah menyampaikan permintaan kepada Presiden Turkey, Encik Recep Tayyib Erdogan, untuk membawa keluar semua aktivis Malaysia yang menyertai misi GSF keluar menerusi Turkey.

Beliau berkata perkara itu turut mendapat persetujuan pemimpin terbabit dan usaha itu dijangka mengambil masa sehari dua.

“Saya sudah meminta jasa baik Presiden Erdogan supaya jika boleh, membawa mereka (keluar) dari mana-mana lokasi sekitar Israel ke Istanbul dengan pesawat khas Turkey yang akan mengambil rakyatnya sendiri.

“Dari Istanbul, insya-Allah kita akan bawa pulang rakyat kita. Beberapa persefahaman awal sudah dicapai sejak pagi tadi (3 Oktober),” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, pada 3 Oktober. 

Antara sukarelawan Malaysia dalam misi GSF yang ditahan tentera Israel termasuk penyanyi, Zizi Kirana; selebriti adik-beradik, Nur Heliza dan Nur Hazwani Helmi; pelakon, Ardell Aryana; dan pempengaruh Farah Lee.

Datuk Anwar yang juga Penaung Utama Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara, turut menyarankan aktivis yang merancang memulakan pelayaran GSF bagi misi bantuan kemanusiaan di Gaza akan datang supaya menangguhkan seketika hasrat itu.

Menurutnya, ia bagi mengelak mereka ditahan Israel, sama seperti dialami oleh aktivis yang menyertai misi GSF sebelum ini.

Pada masa ini, gelombang ketiga flotila kemanusiaan sudah berlepas secara berperingkat menuju ke Gaza dengan membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, Ahli Parlimen dan aktivis kemanusiaan.

Misi kali ini yang dijalankan di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG), menyaksikan 17 lagi delegasi Malaysia mengambil bahagian melalui beberapa kapal berbeza merangkumi doktor perubatan, aktivis kemanusiaan dan wartawan.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, dalam hantaran di Facebook pada 3 Oktober, berkata tindakan tentera Israel menahan misi kemanusiaan GSF untuk membantu mereka yang kelaparan di Gaza adalah bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat.

Sultan Ibrahim berkata sukarelawan misi GSF adalah contoh semangat persaudaraan tanpa batas dalam membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan dan rakyat Malaysia yang terlibat sanggup menggalas risiko dan cabaran demi membawa mesej kemanusiaan ke peringkat antarabangsa.

“Mereka hanya dalam misi kemanusiaan membawa bekalan makanan, namun dihalang dan ditahan. Ini bertentangan dengan nilai kemanusiaan sejagat..

“Semoga setiap usaha murni yang sedang dilakukan serta digerakkan kerajaan dalam membantu sukarelawan rakyat kita dipermudahkan dan dilindungi Allah,” katanya. 

Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby, dalam satu kenyataan pula berkata kerajaan sudah melaksanakan rundingan diplomatik secara maksimum bagi proses membebaskan 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan Israel, termasuk menghubungi pemimpin dari Turkey, Qatar dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, peguam mewakili 23 aktivis GSF Malaysia yang ditahan Israel tidak menolak kemungkinan pembebasan semua mereka ‘dilewatkan’ disebabkan cuti umum Yom Kippur di Israel.

Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Encik Azril Mohd Amin, berkata, penangguhan itu disebabkan hampir keseluruhan institusi perundangan iaitu mahkamah dan penjara di Israel tidak beroperasi.setakat ini, namun katanya belum ada sebarang pengesahan lanjut mengenainya.

Dalam pada itu, Wakil Jawatankuasa Induk SNCC, Cik Nur Adibah Razali, dilaporkan berkata satu-satunya kapal dalam misi GSF yang masih berlayar menuju ke perairan Gaza dilaporkan sudah memasuki Zon Merah kedua setakat 2 petang waktu tempatan.

Media antarabangsa pula melaporkan semua sukarelawan GSF yang ditahan Isael dijangka dipindahkan ke Penjara Ketziot, dan penempatan selama beberapa hari itu sempena cuti, Yom Kippur, iaitu penutupan hampir menyeluruh di Israel.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg