Topik diikuti
Pergi ke BHkuMonsun Timur Laut di M’sia dijangka mula hujung Okt
Hujan ekstrem masih berisiko meski dengan kepanasan El Nino
Monsun Timur Laut di M’sia dijangka mula hujung Okt
JOHOR BAHRU: Monsun Timur Laut dijangka bermula pada penghujung Oktober 2026 hingga pertengahan Mac 2027, dengan hujan lebat ekstrem masih boleh berlaku pada awal musim meskipun fenomena El Nino sedang berkembang.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan dua hingga tiga kejadian hujan lebat ekstrem melebihi 150 milimeter sehari di negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia, serta satu hingga dua kejadian di selatan Sarawak pada fasa awal monsun tersebut.
Memasuki Januari 2027, pengaruh El Nino pula dijangka menjadi lebih ketara, membawa keadaan lebih kering dan panas di kebanyakan tempat.
Keadaan itu berpotensi meningkatkan risiko gelombang haba, kemarau dan jerebu setempat sekiranya berlaku pembakaran terbuka atau kebakaran hutan.
“Berdasarkan rekod, walaupun El Nino kuat lazimnya membawa keadaan lebih panas dan kering, fenomena ini tidak bermakna negara akan mengalami cuaca kering sepanjang masa,” ujar MetMalaysia dalam kenyataan pada 13 Oktober.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena Forum Iklim Kebangsaan 2026 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Johor Bahru, yang menghimpunkan lebih 500 peserta daripada agensi kerajaan, institusi akademik dan penyelidikan, sektor swasta serta masyarakat.
Bertema, ‘Kesiapsiagaan Hari Ini, Ketahanan Masa Hadapan’, forum tersebut memberi tumpuan kepada persediaan menghadapi Monsun Timur Laut 2026/2027, cuaca ekstrem dan risiko bencana.
Menurut MetMalaysia, Monsun Timur Laut lazimnya membawa hujan lebat berterusan, khususnya di Pantai Timur Semenanjung, timur Sabah dan barat Sarawak.
Keadaan itu meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh, selain boleh menjejas kehidupan masyarakat serta kegiatan ekonomi.
Persediaan musim ini turut mengambil kira El Nino yang dijangka menguat menjelang penghujung 2026 dan mempengaruhi corak cuaca serta taburan hujan negara.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Encik Ling Tian Soon, menekankan bahawa perubahan cuaca dan iklim yang semakin tidak menentu memerlukan perancangan tersusun serta tindakan awal.
Menurut kenyataan tersebut, beliau berkata kesiapsiagaan hari ini akan menentukan tahap keselamatan, kesejahteraan dan daya tahan negara pada masa hadapan.
Kerjasama merentas sektor juga diperlukan untuk menghadapi risiko cuaca panas melampau, kemarau, hujan ekstrem dan bencana berkaitan cuaca.
Dalam usaha memperkukuh pemberian amaran awal, MetMalaysia turut melancarkan aplikasi myCuaca 3.0 dengan paparan yang lebih mudah digunakan, imej radar dan satelit cuaca lebih interaktif serta pemberitahuan cuaca masa nyata.
Aplikasi generasi ketiga itu membolehkan masyarakat mendapatkan maklumat cuaca, gempa bumi dan amaran awal bencana dengan lebih cepat bagi membantu mereka membuat persediaan.
MetMalaysia turut memperkukuh kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan UTM melalui Pusat Kelestarian Alam Sekitar dan Sekuriti Air (Ipasa) bagi meningkatkan usaha mengurangkan risiko, kesiapsiagaan serta tindakan awal menghadapi bencana.
Menurut jabatan itu, pemantauan berterusan dan penyelarasan semua pihak penting bagi menghadapi perubahan keadaan sepanjang musim monsun.
MetMalaysia menyeru masyarakat supaya mengutamakan tindakan awal dan terus meningkatkan kesiapsiagaan bagi mengurangkan risiko serta kesan bencana.