Kuala Terengganu: Sebanyak 359 kes kemalangan dengan tujuh kematian direkodkan dalam Op Selamat 22/2024 di Terengganu sempena Aidilfitri.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, 25 operasi dilaksanakan dengan 9,052 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan, lapor media tempatan, Harian Metro.
Menurutnya, 311,184 kenderaan telah masuk ke negeri berkenaan, manakala sebanyak 303,141 kenderaan yang keluar bagi tempoh 8 April hingga 13 April lalu. Hari Raya Aidilfitri bagi 2024 jatuh pada 10 April.
“Polis Terengganu sedaya upaya memastikan kelancaran lalu lintas di semua daerah dalam Terengganu dan khususnya di daerah Kuala Terengganu,” kata Datuk Mazli.
“Alhamdulillah, kita dapat menunaikan tanggungjawab dalam memastikan lalu lintas dikawal dengan baik walaupun pergerakan perlahan berlaku di beberapa kawasan titik panas atau hotspot terutama pada hari raya kedua.
“Selain daripada itu, salah satu objektif Op Selamat ini adalah untuk memastikan keselamatan rumah-rumah yang ditinggalkan oleh pemilik di musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata demikian di majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (KJPJKK), Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) dan Ketua Polis Daerah (KPD) Setiu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, pada 16 April.
Menurutnya, bagi tempoh sama, sebanyak 12 kes pecah rumah dilaporkan di seluruh negeri ini. – HARIAN METRO
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg