Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar gesa M’sia contohi S’pura, anggap vape sebagai kesalahan dadah

Aug 21, 2025 | 10:51 AM
vape, M’sia, S’pura, kesalahan dadah
Pada 17 Ogos Singapura mengumumkan pendekatan baru dengan memperketatkan larangan vape yang telah dikuatkuasakan sejak 2018. - Foto fail

KUALA LUMPUR: Malaysia disaran mencontohi langkah Singapura yang mengklasifikasikan penyalahgunaan vape atau rokok elektronik sebagai kesalahan berkaitan dadah dengan hukuman lebih berat, termasuk penjara bagi penjual, dalam usaha membendung penggunaannya yang semakin berleluasa terutama dalam kalangan remaja.

Pegawai pendidikan kanan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Encik NV Subbarow, berkata kebanyakan vape di Malaysia mengandungi bahan bahaya dan ketagihan termasuk etomidate yang boleh menjejas kesihatan secara serius.

“Masalah ini tidak boleh dipandang ringan. Singapura mengambil langkah lebih keras, dan kita sepatutnya menilai isu ini dengan cara yang sama,” katanya pada 20 Ogos.

Pada 17 Ogos, Singapura mengumumkan pendekatan baru dengan memperketatkan larangan vape yang telah dikuatkuasakan sejak 2018. Di bawah undang-undang Singapura, pemilikan, pembelian atau penggunaan vape boleh dikenakan denda maksimum $2,000.

Etomidate yang kini disenaraikan di bawah Akta Racun Singapura akan diletakkan sebagai dadah Kelas C, menyebabkan pengguna vape yang dikesan mengambil bahan itu tertakluk kepada program pemulihan sepertimana penagih dadah.

Etomidate lazimnya digunakan dalam bidang perubatan untuk tujuan bius, namun penyalahgunaannya boleh menyebabkan halusinasi serta kegagalan organ.

Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, pada 30 Julai berkata kajian menyeluruh akan dijalankan sebelum keputusan dibuat sama ada etomidate perlu disenaraikan sebagai dadah berbahaya di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan membuat keputusan terburu-buru tanpa bukti saintifik yang kukuh.

Encik Subbarow mendedahkan tinjauan CAP mendapati jumlah perokok semakin menurun tetapi penggunaan vape dalam kalangan pelajar serta belia meningkat dari hari ke hari, termasuk remaja perempuan.

“Mereka menganggap ia pilihan peribadi dan soal kesamarataan. Tetapi hakikatnya, mereka tidak sedar bahaya besar yang menanti,” katanya, lapor The Star.

Presiden Ikram Health Malaysia, Dr Mohd Afiq Mohd Nor, turut sependapat dan berkata Singapura menunjukkan ketegasan yang tekal terhadap isu itu.

Menurutnya, sementara menunggu keputusan kerajaan berhubung pengharaman bahan tersebut, pihak berkuasa wajar menguatkuasakan sepenuhnya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

“Ketegasan dan ketekalan amat penting sebelum masalah ini menjadi lebih parah,” tegasnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg