KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan menempatkan pegawai Unit Antidadah Sempadan (UAS) di dua pintu masuk Laluan Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru-Singapura, selaras dengan operasi perkhidmatan itu pada 31 Disember.

Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh, berkata dua lokasi berkenaan ialah Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Chagar, Johor; dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Woodlands North, Singapura.

Menurutnya, keputusan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat dua hala AADK dan Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, bagi memperkukuh kerjasama strategik dan operasi.

Perancangan itu ujar beliau, turut mengambil kira peningkatan ketara pergerakan rentas sempadan susulan pembukaan perkhidmatan RTS Link, terutama dalam menghadapi cabaran keselamatan sempadan menjelang operasi RTS Link Johor Bahru-Singapura.

Datuk Ruslin menambah, pembukaan itu sekali gus menuntut penyelarasan dan kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan Malaysia-Singapura, demi memastikan persekitaran selamat dan bebas ancaman dadah.

“Sesi perbincangan ini menyediakan platform penting untuk AADK dan CNB memperincikan susunan operasi, mekanisma penyelarasan pegawai serta saluran komunikasi pantas di pintu masuk utama, iaitu ICQS Bukit Chagar dan CIQ Woodlands North.

“AADK dan CNB turut meneliti perkembangan trend baharu ancaman dadah rentas sempadan yang semakin kompleks.

“Ini termasuk penggunaan teknologi dan platform dalam talian, kemunculan bahan psikoaktif baharu (NPS) serta modus operandi penyeludupan terkini,” katanya dalam kenyataan pada 15 September, lapor Berita Harian Malaysia.

Mesyuarat yang berlangsung di Kuala Lumpur itu dipengerusikan Datuk Ruslin bersama delegasi CNB Singapura, yang diketuai Timbalan Pengarah (Operasi) CNB, Encik Aaron Tang.

Datuk Ruslin berkata, kejayaan kerjasama dua hala itu tidak diukur menerusi perbincangan semata-mata, malah, melalui tindakan susulan yang membina dan praktikal oleh pasukan operasi kedua-dua pihak.

“AADK kekal komited memperkasa hubungan baik dalam aspek penguatkuasaan bersama agensi serantau demi melindungi kesejahteraan masyarakat dan keselamatan negara daripada ancaman penyalahgunaan serta penyeludupan dadah,” katanya.