Ciri utama projek Woodlands Gateway yang akan datang merupakan sebuah hab pengangkutan pelbagai kegunaan lengkap dengan ruang membeli-belah dan pejabat, kawasan hijau untuk riadah, dengan sambungan terus ke laluan kereta api.

Di kawasan bawah tanah, terdapat rancangan untuk membina rangkaian jalan raya untuk kenderaan berat dan trak terus ke pejabat perindustrian dan memastikan aras tanah bebas daripada lalu lintas yang sesak.

Kawasan Gateway juga akan menampilkan kemudahan masyarakat seperti taman dan laluan untuk pejalan kaki dan penunggang basikal, menghubungkan mereka ke kawasan kejiranan yang lebih besar.

Rancangan projek mega ini terkandung dalam dokumen tender JTC Corporation yang dilihat oleh The Straits Times, yang menyatakan:

“Sebagai titik masuk kereta api pertama daripada Malaysia, Woodlands Gateway dibayangkan sebagai pintu masuk utara yang ikonik, direka untuk menawarkan pelancong pandangan menarik apabila memasuki negara kota ini.

“Dengan mengintegrasikan fungsi pengangkutan, komersial dan perindustrian dengan lancar ke dalam satu daerah, pembangunan ini akan berfungsi sebagai pameran kepimpinan Singapura dalam perancangan guna campur, inovasi dan reka bentuk.”

Hab pengangkutan berkeluasan kira-kira 5.66 hektar atau hampir lapan padang bola sepak, dijangka siap menjelang 2030.

Ia terletak dalam projek Woodlands Gateway seluas 35 hektar, yang akan bersaiz lebih kurang sama dengan kawasan Hab Sukan.

JTC berkata fasa pertama pembinaan terdiri daripada persimpangan bas dengan keluasan kira-kira 6,500 meter persegi dan ruang runcit berukuran 28,000 meter persegi , serta 22,000 meter persegi ruang pejabat fleksibel.

Hab ini akan bersambung terus ke Sistem Transit Laju (RTS) Johor Bahru-Singapura dan stesen MRT Woodlands North di Laluan Thomson-East Coast.

JTC berkata pembangunan ini dibayangkan sebagai hab pengangkutan bersepadu yang akan menyatukan pelbagai jenis pengangkutan menjadi “persimpangan yang lancar, cekap dan bersedia untuk masa hadapan”.

Selain hab, projek ini juga menampilkan dua blok kilang seluas 104,000 meter persegi, dengan satu fasa pembinaan akan siap sekitar 2031 dan fasa seterusnya akan berakhir menjelang 2034.

Menjawab pertanyaan ST pada 8 Julai, JTC berkata kemudahan komersial dan gaya hidup di Woodlands Gateway akan memenuhi permintaan baharu daripada penumpang dalam transit, serta penduduk dan pekerja di estet kediaman dan pembangunan industri berdekatan.

Zamil penyelidik, Profesor Harvey Neo, yang merupakan pengarah program Sarjana Sains Bandar, Dasar dan Perancangan di Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), berkata projek Woodlands Gateway merupakan contoh baik bagi pembangunan berorientasikan transit yang memberi manfaat kepada penduduk dengan pilihan runcit dan pekerjaan dalam rangkaian pengangkutan.

Menurutnya, Woodlands akan menjadi bandar sempadan sebaik sahaja Laluan RTS dibuka dan daerah Woodlands Gateway akan meningkatkan daya tarikan bandar – melangkaui imejnya sekarang sebagai kawasan matang yang sedikit usang.