PUTRAJAYA: Usul mengharamkan sepenuhnya penggunaan dan penjualan vape bakal dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.
Setelah dimuktamadkan, ia akan dibentang di Parlimen, dan jika diluluskan, pengharaman dijangka dilaksanakan pada 2026.
Langkah itu menyusuli pengumuman Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, mengenai hasrat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membanteras isu penyalahgunaan cecair vape yang dicampur bahan sintetik, seperti dadah, lapor Harian Metro.
“Selepas dimuktamadkan ia akan dibentang di Parlimen dan selepas diluluskan pengharamannya dijangka dilaksanakan tahun ini (2026),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan dan Amanat Tahun Baru 2026 Bersama Warga Kementerian Kesihatan, di sini, pada 6 Januari.
Terdahulu, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata pelaksanaan pengharaman akan dibuat secara berperingkat, bermula dengan sistem terbuka sebelum diperluas ke semua jenis vape.
Keputusan untuk mengharamkan vape bukan lagi soal ‘jika’, tetapi ‘bila’, dengan KKM menyasarkan penguatkuasaan larangan selewat-lewatnya menjelang pertengahan atau penghujung 2026.
Antara faktor utama dorongan adalah kebimbangan terhadap kes psikosis dan masalah kesihatan mental serius yang dikaitkan dengan penggunaan cecair vape dicampur bahan terlarang.
Sebagai persediaan awal, KKM telah mengadakan perbincangan terperinci dengan beberapa kementerian dan jabatan utama, termasuk Kewangan, Kastam Diraja Malaysia, Perdagangan Dalam Negeri, Dalam Negeri (melalui PDRM), Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, serta Pejabat Penasihat Undang-undang.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan had masa ditetapkan bagi pelaksanaan pengharaman sepenuhnya penjualan vape.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg