Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia bakal teruskan projek jambatan Melaka-Riau, kaji kebolehlaksanaan pada 2026

Melaka dapatkan khidmat firma perunding untuk nilai keberkesanan projek
Dec 24, 2025 | 4:08 PM
M’sia, projek jambatan Melaka-Riau, kemudahan
Lakaran artis jambatan Melaka-Dumai yang dilakarkan pada 2013. - Foto STRAIT OF MALACCA PARTNERS SDN BHD

MELAKA: Rancangan selama beberapa dekad untuk membina jambatan yang menghubungkan Melaka, Malaysia, dengan Riau, Indonesia, dijangka diteruskan semula apabila kerajaan negeri Melaka mengorak langkah untuk memulakan kajian kebolehlaksanaan ekonomi projek itu pada 2026.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata pada 11 Disember kerajaan negeri telah membelanjakan sekitar RM500,000 ($158,000) bagi khidmat firma perunding untuk menilai keberkesanan projek serta “kemampuannya mengubah landskap ekonomi”.

Rancangan itu melibatkan pembinaan jambatan dari Pantai Pengkalan Balak di bandar tepi laut Masjid Tanah, Melaka, ke Pulau Rupat di Riau, dengan sebuah lebuhraya yang menghubungkan ke Dumai.

Meskipun kedua-duanya terletak di daerah Bengkalis, Riau, Dumai berada di tanah besar Sumatera.

Diberi gelaran ‘bandar minyak’ kerana peranannya sebagai hab pengedaran, penapisan dan pengeluaran minyak dan gas, Dumai turut menempatkan pusat pemprosesan minyak sawit yang dikendalikan syarikat perniagaan tani berpangkalan di Singapura, Wilmar International.

Selain itu, beberapa syarikat Malaysia turut memiliki ladang sawit berhampiran kawasan tersebut.

Menurut Datuk Ab Rauf, titik terdekat antara kedua-dua negara jiran ini hanyalah 47.4 kilometer merentasi Selat Melaka.

Beliau menambah bahawa projek mega itu dijangka dibentangkan pada Januari kepada Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) Malaysia untuk perbincangan lanjut sebelum dihantar kepada pemerintah Indonesia.

Datuk Ab Rauf turut mendedahkan bahawa kerajaan negeri Melaka merancang untuk memperoleh 5,000 hektar tanah di Masjid Tanah bagi sebuah taman perindustrian baru.

Usulan untuk membina jambatan yang merentasi salah satu laluan perkapalan antarabangsa paling sibuk di dunia ini telah bermula sejak 1996, namun ia kehilangan momentum susulan krisis kewangan Asia dari 1997 hingga 1998.

Pada 2006, Ketua Menteri Melaka ketika itu, Tun Dr Mohd Ali Rustam, yang kini Yang di-Pertua Negeri Melaka, menyambung semula minat terhadap projek ini.

Menurut beliau, kerja awal telah dimulakan dan kajian menunjukkan jambatan itu boleh dilaksanakan secara teknikal.

Pada masa itu, Bank Eksport-Import China (Bank China Exim) menyatakan kesediaannya membiayai sehingga 85 peratus daripada kos projek, namun minat mereka kembali merosot kerana tiada komitmen berterusan.

Rancangan itu mendapat perhatian semula pada 2013 apabila kerajaan Melaka menjalankan satu lagi kajian, dan Bank China Exim mengulangi kesediaannya untuk membiayai projek tersebut, dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak AS$14 bilion ($17.9 bilion).

Di bawah usulan 2013, pembinaan akan dibahagikan antara Malaysia dan Indonesia, dengan Malaysia membina jambatan merentasi Selat Melaka manakala Indonesia membina lebuhraya sepanjang 71.2 kilometer untuk menghubungkan Pulau Rupat dengan Dumai.

Pada masa itu, rakan kongsi projek menyatakan bahawa pengguna jalan raya akan dikenakan bayaran AS$80 setiap perjalanan.

Rancangan itu sekali lagi terhenti sehingga Datuk Ab Rauf membangkitkannya semula pada 2022, apabila beliau berkata projek pembinaan yang dilaksanakan oleh sektor swasta itu dijangka mengambil masa sehingga 20 tahun untuk disiapkan.

Penyelidik menyuarakan kebimbangan tentang kesan jambatan ini terhadap alam sekitar serantau dan perkapalan antarabangsa, dengan sesetengah pihak berpendapat bahawa manfaat ekonominya di luar sektor minyak sawit mungkin terhad. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg