Johor melakar satu lagi detik bersejarah menerusi pelancaran Ibrahim Technopolis (IBTEC), sebuah projek mega berteraskan teknologi tinggi yang dijangka menjadi pemacu utama ekonomi masa depan negeri.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata IBTEC membawa pendekatan pembangunan masa depan yang menyatukan digital, bioteknologi, kejuruteraan dan kelestarian dalam satu ekosistem terancang.
Dengan kedudukan sebagai ‘ekosistem ujian bersepadu pertama di Asia’, projek ini menurut beliau, menandakan kesiapsiagaan Johor untuk menjadi hab inovasi serantau yang disegani.
“IBTEC bukan sahaja menjanjikan pembangunan teknologi, malah menawarkan impak ekonomi yang besar melalui penyumbangan RM37.2 bilion ($11.7 bilion) kepada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) negara serta pewujudan 330,000 peluang pekerjaan menjelang 2047.
“Keyakinan pelabur terhadap Johor semakin kukuh dengan jumlah pelaburan berstatus tinggi di Sedenak Tech Park yang kini melebihi RM25 bilion,” katanya dalam satu kenyataan pada 3 Disember.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Sultan Ibrahim, di Dataran Mahkota, Kota Iskandar.
Datuk Onn berkata keupayaan Johor menarik pelaburan bernilai besar membuktikan hala tuju negeri berada di landasan tepat, disokong kepimpinan strategik, dasar jelas serta penyelarasan mantap antara semua agensi.
“Dengan visi yang tersusun, IBTEC akan memperkukuh kedudukan Johor sebagai pintu masuk utama pelaburan bermutu di Asean,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja IBTEC, berkata projek mega seluas 7,290 ekar itu akan menjadi nadi ekonomi generasi akan datang.
“Rekod pelaburan melebihi RM25 bilion di Sedenak setakat ini menggambarkan tahap keyakinan pelabur global terhadap Johor.
“IBTEC tidak dibangunkan sebagai kawasan perindustrian semata-mata, tetapi sebagai sebuah ekosistem menyeluruh tempat masyarakat bekerja, tinggal, belajar dan berinovasi,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Encik Lee Ting Han, turut menyifatkan IBTEC sebagai detik penting dalam usaha menjadikan Johor sebuah negeri maju dan berdaya saing.
Dibangunkan dengan kerjasama firma perancang bandar antarabangsa dan arkitek bertaraf dunia, IBTEC katanya akan menjadi pemangkin utama sektor digital, pusat data, kecerdasan buatan (AI), bioteknologi, pembuatan maju serta penyelidikan dan pembangunan.
“Sektor ini adalah tunjang ekonomi masa depan, dan IBTEC akan menghubungkan bakat, teknologi serta peluang dengan cara yang menempatkan Johor di barisan hadapan rantau ini,” ujar beliau.
Dengan kedudukan strategik yang turut melengkapi aspirasi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), IBTEC dijangka menjadi komponen kritikal dalam menghubungkan pelabur, industri dan tenaga kerja berkemahiran tinggi di dua negara.
Keupayaan ekosistem ini menarik pelaburan bermutu dijangka merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri secara menyeluruh.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg