SIPITANG (Sabah): Malaysia bakal mewajibkan semua platform media sosial melaksanakan proses pengesahan identiti pengguna atau electronic Know Your Customer (eKYC) bagi memastikan kanak-kanak bawah umur 13 tahun tidak memiliki akaun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata langkah itu adalah bagi melindungi keselamatan kanak-kanak di alam maya serta memastikan garis panduan komuniti yang ditetapkan oleh platform berkenaan benar-benar dikuat kuasa.
“Sewaktu saya bertemu dengan wakil platform media sosial bulan lalu (September), saya telah memberikan mesej kepada mereka bahawa di Malaysia, kita akan mewajibkan platform media sosial melakukan pengesahan identiti terutama untuk memastikan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak memiliki akaun.
“Cuma exact timeline saya akan lapor kepada Jemaah Menteri dulu, baru saya akan umumkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan NADI on Wheels atau Now di Dewan Undangan Negeri Sindumin di sini pada 15 Oktober, lapor Berita Harian Malaysia.
Datuk Fahmi berkata bagi tujuan itu satu pertemuan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan syarikat platform media sosial akan diadakan minggu depan yang menjadi langkah penting ke arah merealisasikan segera pelaksanaan perkara tersebut.
Selain isu kanak-kanak, beliau berkata proses eKYC juga penting bagi membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan penyebaran kandungan berbahaya seperti judi serta iklan palsu.
“Banyak platform disalahgunakan oleh penjenayah untuk tujuan scam (tipuan)... semalam (14 Oktober), dalam Parlimen saya ada menjawab soalan... ada angka yang menggerunkan... 78 peratus daripada semua kandungan scam yang telah diturunkan itu adalah daripada Facebook,” katanya.
Sementara itu, inisiatif Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) iaitu Now yang dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi dengan kerjasama SKMM adalah bertujuan memperluas capaian digital serta membawa kemudahan teknologi maklumat kepada komuniti luar bandar.
Datuk Fahmi berkata sehingga kini, terdapat 1,099 Nadi di seluruh negara termasuk 131 di Sabah.
Program Now di Sipitang turut dilengkapi peranti Starlink dengan kelajuan capaian hingga 250 megabit sesaat dan sejumlah tablet bagi membolehkan komuniti tempatan mempelajari kemahiran digital dan keusahawanan secara dalam talian.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg