Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menasihati pengguna media sosial agar tidak bergayut pada lampu isyarat, papan tanda jalan atau infrastruktur jalan raya lain semata-mata untuk mengikuti trend TikTok terkini.
Dalam satu video di Facebook pada 14 Oktober, LTA berkata pihaknya telah mengesan trend media sosial di mana pengguna merakam diri mereka bergayut pada lampu isyarat, papan tanda dan infrastruktur jalan lain.
Trend itu melibatkan golongan muda melakukan lip sync (gerak bibir seolah-olah menyanyi) korus lagu Maui Wowie (2008), hasil penyanyi rap Amerika Kid Cudi sambil melakukan aksi tergantung pada papan tersebut, lapor The Straits Times.
LTA berkata: “Seronok itu boleh, tetapi infrastruktur jalan kita bukan taman permainan. Ia berfungsi untuk memudahkan perjalanan dan memastikan keselamatan semua. Tolong jangan jadikan ia prop media sosial. Mari kita pastikan jalan kita selamat.”
Hantaran itu turut memaparkan imej yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang menggambarkan cabaran tersebut.
Trend itu menjadi tular selepas pengguna TikTok @aaronxbrownn menyiarkan video dari Honolulu memperlihatkan aksi tersebut, yang pantas mengumpul jutaan tontonan.
Cabaran itu turut membangkitkan semula minat kepada lagu terbabit, yang naik ke kedudukan kelapan dalam senarai Spotify Viral 50 – USA pada 14 Oktober.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg