Amanah baru menanti tiga Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam, susulan pengumuman Kabinet baru oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 21 Mei.
Encik Zaqy Mohamad dilantik menjadi Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), di samping mengekalkan jawatan sebagai Menteri Negara Kanan (Pertahanan).
Namun, beliau akan melepaskan jawatannya di Kementerian Tenaga Manusia (MOM).
AP GRC Marsiling-Yew Tee itu juga akan mengambil alih jawatan sebagai Pengerusi Mendaki daripada Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.
Sebelum ini, Encik Zaqy memegang jawatan sebagai Timbalan Pengerusi badan bantu diri tersebut sejak Mei 2018.
Dua AP Melayu/Islam lain – AP GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim; dan AP GRC Nee Soon, Dr Syed Harun Alhabsyi – menggalas tanggungjawab lebih besar.
Encik Zhulkarnain akan memegang jawatan sebagai Menteri Negara (Ehwal Luar merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) mulai 1 Februari 2026.
Dr Syed Harun pula dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kanan (Pendidikan merangkap Pembangunan Negara), mulai 1 Oktober 2025.
Pelantikan kededua AP itu bermakna Encik Zhulkarnain dinaikkan pangkat daripada AP biasa tanpa jawatan kepada memperolehi jawatan politik.
Bagi Dr Syed Harun yang merupakan AP GRC Nee Soon susulan memenangi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) – pertandingannya yang pertama – kini memperoleh jawatan politik.
Sementara itu, Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, pula turut dilantik selaku Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, menggantikan Encik Masagos.
Encik Wong menjelaskan kededua Encik Zaqy dan Dr Faishal serta AP Melayu/Islam lain akan bekerjasama untuk berinteraksi dengan masyarakat Melayu/Islam dan mendengar keprihatinan serta aspirasi mereka.
“Faishal dan Zaqy, bersama-sama pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen Melayu/Islam yang lain, akan terus berinteraksi rapat dengan masyarakat Melayu/Islam – meneruskan asas kukuh yang telah kita bina hari ini, dan bekerjasama dengan masyarakat untuk merealisasikan matlamat bersama kita.
“Saya juga akan bekerjasama rapat dengan mereka. Berinteraksi dengan masyarakat Melayu/Islam merupakan satu keutamaan bagi saya dalam penggal yang lalu; dan ia akan terus menjadi keutamaan dalam penggal baru pemerintahan ini,” katanya.
Dalam pada itu, kededua Encik Zhulkarnain dan Dr Syed Harun merupakan antara sembilan AP yang dinaikkan pangkat – dua daripadanya merupakan AP biasa tanpa jawatan, serta tujuh AP baru dilantik.
Mengulas mengenai langkah tersebut, Encik Wong berkata:
“Saya juga melantik sembilan penyandang jawatan baru dalam kalangan AP biasa tanpa jawatan serta Anggota Parlimen baru.
“Ini merupakan salah satu jumlah tertinggi dalam sejarah kebelakangan ini, dan ia mencerminkan betapa pentingnya proses pembaharuan kepimpinan.”
Ini merupakan penggal kedua Encik Zhulkarnain menjadi AP sejak kali pertama dilantik pada Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).
Selain Encik Zhulkarnain, AP SMC Tampines Changkat, Encik Desmond Choo, turut dinaikkan pangkat sebagai Menteri Negara (Pertahanan).
Encik Wong menjelaskan rombakan itu bermakna setiap kementerian mempunyai penyandang jawatan baru sebagai Menteri, Menteri Negara atau Setiausaha Parlimen.
“Saya mengambil langkah ini untuk memberi pemimpin muda lebih banyak pengalaman dan pendedahan dalam pelbagai bidang pemerintahan, agar mereka bersedia memikul tanggungjawab yang lebih besar pada masa hadapan,” tambah Encik Wong.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg