Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia: Bapa dakwa barang berharga anak perempuan hilang dari tubuh

Oct 14, 2024 | 4:59 PM
Gambar yang diambil ketika penemuan mayat anak Encik Syazwan Abdullah dalam kereta menunjukkan barang kemasnya masih dipakai.
Gambar yang diambil ketika penemuan mayat anak Encik Syazwan Abdullah dalam kereta menunjukkan barang kemasnya masih dipakai. - Foto NST

KUALA LUMPUR : “Ini bukan sahaja tentang nilai barang kemas yang hilang, ia mengenai maruah anak saya selepas barang berharga itu diambil dari tubuhnya yang tidak bernyawa.”

Encik Syazwan Abdullah, 59, mendakwa barang kemas yang dipakai anak perempuannya ketika ditemui meninggal dunia dalam kereta yang diletakkan di sebuah kondominium di Setapak pada 1 Oktober lepas, telah hilang.

Menurutnya, beliau dimaklumkan oleh pemilik rumah sewa anak perempuannya berhubung penemuan mayatnya pada awal pagi 1 Oktober lepas.

“Mengikut laporan anak saya ditemui oleh anggota polis yang sedang membuat rondaan, yang menyedari Proton Saga miliknya diletakkan di kawasan itu, terkunci dengan enjin yang hidup dan lampu menyala.

“Selepas dimaklumkan, saya dan isteri terbang dari Lahad Datu, Sabah, ke Kuala Lumpur, dan mengetahui jenazah anak perempuan saya sudah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan awal menunjukkan anak perempuan saya berkemungkinan mengalami serangan jantung yang meragut nyawanya,” katanya kepada akhbar The New Straits Times Malaysia.

Sebaik sahaja anak perempuannya dikebumikan di Banting, Selangor, beliau terdorong untuk mencari rantai, loket dan gelang yang diberikan oleh nenek dan kakaknya.

“Saya dimaklumkan oleh kedua-dua pihak hospital dan polis bahawa dia tidak memakai sebarang barang kemas ketika ditemui dalam kenderaan itu.

“Pencarian saya di seluruh rumah sewa tidak membuahkan hasil, menyebabkan saya merujuk perkara itu kepada pihak bomba yang memecahkan cermin kereta yang berkunci.

“Pada hari kejadian, pihak bomba mengambil gambar sebelum dan selepas memecahkan cermin kereta, memandangkan kenderaan itu berkunci,” jelasnya.

Menurutnya, berdasarkan gambar, anak perempuannya masih memakai barang kemas itu sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Imej itu jelas menunjukkan anak perempuan saya memakai barang kemas itu, tetapi dalam gambar yang diberikan polis, rantai dan gelang itu hilang.

“Apabila polis menjumpai kereta itu, ia berkunci dan enjinnya masih hidup, tiada siapa yang boleh mengambil barang kemas tersebut ketika itu.

“Ini menyebabkan saya mengesyaki barang kemas itu diambil ketika mayat anak perempuan saya masih berada di dalam kereta sebelum dihantar ke hospital,” katanya sambil menambah beliau membuat laporan di balai polis Setapak pada 8 Oktober.

Sebagai bekas pegawai kanan polis, beliau melahirkan rasa kecewa kerana pegawai penyiasat itu kelihatan tidak memberi kerjasama berhubung kes itu.

“Saya telah menghubungi pegawai berkenaan untuk mendapatkan maklumat tetapi tiada maklum balas. Saya juga telah merujuk perkara ini kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) di Bukit Aman untuk siasatan lanjut.

“Apa yang mengecewakan saya ialah siasatan ini dibuka sebagai siasatan awal dan bukannya siasatan penuh,” tambahnya.

Encik Shazwan berkata bahawa beliau dan keluarganya telah menerima hakikat kematian anak perempuan mereka, yang tidak menunjukkan tanda-tanda mencurigakan, tetapi mereka mencari keadilan atas kehilangan barang kemas itu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Encik Rusdi Mohd Isa menyatakan bahawa polis kini sedang menyiasat dakwaan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg