Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mayat bayi dalam simen lantai: Polis Perak dapatkan bantuan Interpol jejak suspek

Sep 9, 2024 | 2:26 PM
Lokasi mayat bayi ditemukan ditanam di bawah lantai simen di bahagian anjung kereta sebuah rumah di Taman Sri Rokam, Ipoh, Perak, pada 28 Ogos.
Lokasi mayat bayi ditemukan ditanam di bawah lantai simen di bahagian anjung kereta sebuah rumah di Taman Sri Rokam, Ipoh, Perak, pada 28 Ogos. - Foto HARIAN METRO

IPOH: Polis Perak akan menggunakan saluran diplomatik termasuk melalui Polis Antarabangsa (Interpol) bagi menjejaki dan menangkap suspek warga Indonesia yang dipercayai terbabit susulan penemuan mayat bayi yang ditanam di anjung kereta berlantai simen di sebuah rumah di Taman Sri Rokam, Ipoh, Perak, pada 28 Ogos.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata ketika ini usaha mengesan suspek iaitu seorang wanita warga Indonesia yang juga penyewa terakhir rumah berkenaan masih dijalankan.

Menurutnya ketika ini tidak dapat dipastikan keberadaan wanita tersebut sama ada masih di Malaysia atau sudah pulang ke negara asalnya.

“(Suspek) belum lagi dikenal pasti. Kita sedang jejaki warganegara Indonesia yang dipercayai mendiami rumah berkenaan dan siasatan masih lagi diteruskan.

“Kita belum buat pengesahan sama ada suspek sudah balik atau masih berada di Malaysia.

“Bagaimanapun polis akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Imigresen (Jabatan Imigresen Malaysia) selain menggunakan semua (kekuatan) risikan kita.

“Mungkin kalau kita kenal pasti subjek itu sudah balik (ke negara asal), maka kita akan menggunakan saluran diplomatik melalui Interpol,” katanya lapor Harian Metro.

Pada 28 Ogos, mayat bayi dalam keadaan dibaluti kain sarung ditemui ditanam di bawah lantai simen di sebuah rumah di Taman Sri Rokam.

Mayat bayi malang itu ditemui seorang lelaki yang hendak menyewa rumah berkenaan ketika membuat kerja-kerja baik pulih rumah tersebut.

Lelaki berkenaan difahamkan mengorek tanah untuk meletakkan bancuhan simen semula lantai di bahagian letak kereta, sebelum terjumpa cebisan kain sarung yang membawa kepada penemuan mayat bayi terbabit.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata hasil bedah siasat tidak dapat mengenal pasti punca kematian bayi itu berikutan keadaan pereputan mayat.

Encik Abang Zainal Abidin berkata tidak dapat dipastikan sama ada bayi itu meninggal dunia selepas dilahirkan atau sebelumnya, iaitu sama ada mati dalam kandungan atau mati sewaktu dilahirkan.

Ini memandangkan berdasarkan keterangan pakar patologi, tidak terdapat sebarang kecederaan pada mayat bayi perempuan itu dengan bayi dipercayai berumur tujuh bulan ketika keluar daripada kandungan atau bayi pramatang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg