Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga anggota polis ditangkap disyaki terlibat rompakan bersenjata di Selangor

Aug 2, 2024 | 12:12 PM
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki melarikan barang curian dengan menaiki sebuah kereta mewah selepas memecah masuk rumah seorang pegawai polis di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua lelaki melarikan barang curian dengan menaiki sebuah kereta mewah selepas memecah masuk rumah seorang pegawai polis di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor. - Foto POLIS DIRAJA MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Tiga anggota polis, yang bertugas di Pasukan Gerakan Am (PGA), ditahan selepas disyaki terbabit dalam kejadian samun di sebuah rumah yang didiami warga Myanmar di Semenyih, Selangor.

Mereka antara sekumpulan lelaki yang disyaki menyamun rumah mangsa di Kampung Pasir, Semenyih, sekitar 12.17 tengah malam pada 31 Julai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata bertindak atas maklumat yang diterima, polis melakukan tangkapan ke atas dua anggota polis berusia 32 dan 35 tahun di Batalion 19, PGA, Cheras, Kuala Lumpur.

PGA adalah elemen tempur Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengendalikan operasi punitif bagi memberi tekanan ke atas sebarang bentuk pakatan bersenjata, kegiatan subversif, pemberontakan dan ancaman dalam negara.

“Tangkapan ke atas kedua-dua mereka dijalankan pada 1 Ogos kira-kira 12.20 tengah malam, manakala seorang lagi suspek berusia 24 tahun menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada 1 petang 1 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Berita Harian Malaysia.

Semua suspek direman hingga 7 Ogos untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3, Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat), yang memperuntukkan hukuman mati.

Datuk Hussein berkata polis Selangor tidak akan melindungi sembarang pegawai, kanan mahupun rendah, yang didapati terbabit dalam mana-mana kesalahan jenayah.

“Siasatan akan dijalankan sepenuhnya mengikut kesalahan jenayah yang dilakukan tanpa kompromi,” katanya.

Terdahulu, tular laporan dalam aplikasi Telegram yang menyatakan lima lelaki, termasuk tiga orang yang dipercayai anggota polis, menyamun rumah mangsa.

Dua daripada suspek dilaporkan memakai ves Polis Diraja Malaysia dan bersenjatakan dua pucuk pistol automatik.

Suspek turut dilapor melepaskan lima das tembakan amaran ketika menaiki kenderaan selepas diekori mangsa.

Sementara itu dalam satu kes berasingan, dua lelaki yang menaiki sebuah kenderaan mewah memecah masuk rumah seorang pegawai polis di Taman Sri Andalas, Klang, Selangor, pada 31 Julai.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Penolong Pesuruhjaya Cha Hoong Fong, berkata polis menerima laporan daripada mangsa berusia 36 tahun yang bertugas di IPD Shah Alam pada 4.20 petang, selepas mendapat makluman kejadian daripada jiran.

“Mangsa bergegas pulang ke rumah dan mendapati jeriji pintu rumahnya diumpil serta rumahnya berselerak. Mangsa mendakwa kerugian RM5,000 ($1,468) selepas kehilangan beg tangan pelbagai jenama, telefon bimbit serta wang tunai RM100,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg