Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

M’sia belanja RM1.15b bagi kos penjara kesalahan dadah pada 2024

Nov 4, 2025 | 5:02 PM
Pakar Kesihatan Awam Malaysia yang juga Penasihat Yayasan Aids Malaysia, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman.
Pakar Kesihatan Awam Malaysia yang juga Penasihat Yayasan Aids Malaysia, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman. - Foto MALAY MAIL

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia memperuntukkan kira-kira RM1.15 bilion ($358 juta) pada 2024, bagi menampung kos penjara pesalah berkaitan kes dadah.

Perkara itu didedahkan Pakar Kesihatan Awam Malaysia yang juga Penasihat Yayasan Aids Malaysia, Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, pada Sidang Puncak Drug Policy Summit Malaysia 2025 yang pertama seumpamanya dan diadakan di Kuala Lumpur.

Dalam ucapan kritisnya mengenai undang-undang dadah Malaysia, Profesor Dr Adeeba berkata jumlah perbelanjaan tahunan keseluruhan bagi mengekalkan pendekatan tangkap dan penjara pesalah dadah dianggarkan mencecah RM2 bilion - jumlah yang disifatkannya mampu digunakan untuk mengambil kira-kira 5,000 pakar perubatan.

Beliau berkata walaupun menelan kos yang tinggi bagi perbelanjaan pesalah dadah di penjara, pihak berkuasa Malaysia masih merekodkan peningkatan tangkapan berkaitan kes dadah.

Sejak 2019 katanya polis melaporkan sekitar 600,000 tangkapan, termasuk 174,000 pada 2024 saja - dengan 85 peratus daripadanya melibatkan penggunaan dan pemilikan kecil, manakala hanya 15 peratus membabitkan kegiatan menjual atau membekalkan dadah.

“Jadi, adakah terdapat alternatif lain yang berkesan?

“Di seluruh dunia, negara seperti Portugal, Switzerland dan New Zealand membuktikan pendekatan bahawa dadah bukan kes jenayah dapat menyelamatkan nyawa, mengurangkan risiko serta kematian akibat dos berlebihan, dan mengukuhkan usaha pemulihan sosial,” katanya, lapor Malay Mail.

Profesor Dr Adeeba merupakan antara ramai profesional kesihatan awam yang menyokong langkah nyah jenayah (decriminalisation) bagi kes salah guna dadah, serta menggesa dasar berasaskan rawatan, penjagaan dan yang bukan berbentuk hukuman bagi mengekang kes ketagihan dadah.

Kerajaan semasa yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, setakat ini tidak memansuhkan undang-undang yang menjadikan penggunaan dadah sebagai kesalahan jenayah.

Sebaliknya, kerajaan meminda beberapa peruntukan dalam Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) bagi menghantar pesalah ke pusat pemulihan kendalian kerajaan. Kerajaan menjelaskan bahawa pindaan itu bertujuan mengurangkan kesesakan penjara.

Namun pakar berpendapat pendekatan itu hanya mengekalkan stigma dan menghalang penagih daripada mendapatkan bantuan untuk pulih, sekali gus menyukarkan usaha menjadikan ketagihan dadah sebagai isu kesihatan awam dan bukan jenayah.

Negara anggota Asean juga masih berhati-hati terhadap idea nyah jenayah penggunaan dadah, dengan kebanyakan kerajaan terus memilih langkah berasaskan hukuman walaupun kajian menunjukkan pendekatan pemulihan kesihatan lebih berkesan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg