KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong penggunaan vape, atau rokok elektronik, diharamkan secara menyeluruh di Malaysia, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata ia sebagai langkah proaktif dan tegas dalam melarang penggunaan vape mengandungi dadah, yang kini dilaporkan semakin membimbangkan.
“Jabatan Siasatan Jenayah akan menyokong cadangan larangan penjualan vape di negara ini sebagai antara usaha membanteras penyalahgunaan dadah menerusi peranti elektronik.
“Kerjasama masyarakat perlu dalam menyalurkan maklumat berkaitan penjualan dan penyalahgunaan vape mengandungi dadah. Kerajaan sedang giat memperkemas kawal selia terhadap produk ini terutama terhadap aspek kandungan dan saluran edarannya,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Anggota Parlimen (AP) Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Perikatan Nasional-Kuala Langat) pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat pada 22 Oktober.
Mengulas lanjut, Dr Shamsul berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyambut baik cadangan pelbagai pihak supaya lebih banyak program pencegahan dilaksana, di samping kaedah rawatan bagi kes penyalahgunaannya supaya dapat diperkasakan.
“Bagi KDN, melalui Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), pelbagai inisiatif digerakkan khususnya PDRM dalam usaha membendung penyalahgunaan dadah dan vape di negara ini.
“Kerjasama dengan KKM (Kementerian Kesihatan) (dilakukan) untuk terus perkukuh strategi dalam membanteras isu penyalahgunaan vape yang mengandungi bahan terlarang ini.
“Contohnya pada 3 Julai lalu, satu mesyuarat diadakan antara PDRM dan Bahagian Kawalan Penyakit KKM dipengerusikan sendiri oleh Timbalan Ketua Polis Negara (Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay),” katanya.
Terdahulu menjawab soalan asal, Dr Shamsul Anuar berkata trend penyalahgunaan dadah sudah menunjukkan peningkatan ketara pada 2024 berbanding 2023.
“Seramai 192,857 individu dikesan menyalahguna dadah berbanding 2023 iaitu 145,526 individu dengan peningkatan sebanyak 32.5 peratus,” katanya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg