Langkah ketat mencegah vape yang diperkenalkan di Singapura mulai 1 September telah menyebabkan sebuah syarikat global yang berkaitan dengan perdagangan vape menutup pejabatnya di Kawasan Pusat Bandar (CBD).
Syarikat induk, Hellow SG, yang menawarkan perkhidmatan pentadbiran dan didedahkan sebagai anak syarikat pengeluar vape yang berpusat di China, Relx International, telah henti operasi pada 30 September, menurut rekod Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra).
Firma yang didaftarkan pada 2019 itu bukan yang pertama berkaitan dengan perdagangan vape yang meninggalkan Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Pengeluar vape Amerika, Juul Lab, yang sebelum ini mempunyai ibu pejabat serantau di sini, turut meninggalkan Singapura pada Julai 2024.
Dekan Sekolah Kesihatan Awam Saw Swee Hock di Universiti Nasional Singapura (NUS), Profesor Teo Yik Ying, berkata persekitaran perniagaan syarikat vape yang beroperasi di sini mungkin menjadi kurang menggalakkan.
Profesor Teo berkata: “Saya percaya (keadaan ini menjadi kurang menggalakkan) sejak pengumuman Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, semasa Rapat Hari Kebangsaan Singapura tentang pendekatan menyeluruh oleh pemerintah terhadap isu menghisap vape.
“Ini juga selaras dengan prinsip menolak penggunaan vape di Singapura, yang tidak menyokong kehadiran mereka di negara ini.”
Dalam ucapan Rapat Hari Kebangsaan pada 17 Ogos, Encik Wong berkata vape akan dianggap sebagai isu dadah, dengan hukuman yang lebih berat dikenakan.
Singapura melaksanakan langkah lebih ketat mulai 1 September, dengan denda yang lebih tinggi bagi pengguna dan hukuman yang lebih berat bagi pembekal.
Agen anestetik etomidate, yang disalahgunakan melalui vape dan dikenali sebagai Kpods, juga diklasifikasikan sebagai dadah Kelas C.
Peguam N. Kanagavijayan berkata syarikat vape mungkin bimbang mengenai kesan wang yang diterima daripada perdagangan mereka, termasuk jualan ke negara di rantau ini yang membenarkan dan mengawal vape.
Mulai 1 September, beberapa kesalahan penggunaan vape di bawah Akta Racun dan Akta Tembakau (Pengawalan Iklan dan Penjualan) telah dimasukkan ke dalam tiga undang-undang berkuasa tinggi, yang biasanya diperuntukkan untuk jenayah besar, termasuk pengubahan wang haram berskala besar dan keganasan.
Tiga undang-undang tersebut adalah Akta Bahaya Jenayah Dalam Talian (Ocha), Akta Jenayah Terancang (Oca) dan Akta Rasuah, Pengedaran Dadah dan Jenayah Berat Lain (Rampasan Faedah), yang digunakan untuk merampas keuntungan daripada kegiatan jenayah mereka.
Hellow SG telah beroperasi secara tersembunyi di Singapura.
Ia terlibat dalam penghantaran produk vape yang dihasilkan oleh Relx International.
Firma itu beroperasi dari pejabat yang tidak menonjol, tanpa papan tanda, di Valley Point, River Valley Road.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg