Topik diikuti
Pergi ke BHkuM’sia berhasrat perkukuh kerjasama pembangunan perumahan dengan S’pura
M’sia berhasrat perkukuh kerjasama pembangunan perumahan dengan S’pura
Perkongsian ilmu dan mobiliti bakat bakal perkukuh mutu perumahan awam negara menerusi model kejayaan S’pura
M’sia berhasrat perkukuh kerjasama pembangunan perumahan dengan S’pura
KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat mengukuhkan kerjasama dalam sektor perumahan bersama Singapura, dengan menumpukan kepada mobiliti bakat dan pertukaran ilmu yang strategik.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Encik Nga Kor Ming, menyatakan bahawa model perumahan awam Singapura merupakan rujukan terbaik untuk menambah baik inisiatif perumahan negara.
“Singapura terkenal dengan sistem perumahan awamnya, khususnya model Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) serta Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA),” ujar beliau.
“Kami berharap pakar berkongsi pengalaman mereka dengan kami supaya kami boleh terus menambah baik inisiatif perumahan kami sendiri,” katanya dalam hantaran Facebook pada 16 Jun.
Hasrat itu ditegaskan semasa pertemuan dua hala dengan Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, pada 15 Jun bagi membincangkan kemajuan serantau dan pembandaran mampan.
Kedua-dua pihak kini menilai semula projek di bawah Memorandum Persefahaman (MOU) yang dimeterai pada 2025, serta meneroka potensi teknologi pembinaan moden.
Dalam pertemuan tersebut, Malaysia turut menyuarakan sokongan penuh terhadap Singapura sebagai Pengerusi Asean bagi 2027.
Encik Nga menaruh keyakinan tinggi Singapura akan terus mempelopori kerjasama serantau yang mementingkan keterangkuman di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi dunia.
Keazaman kerajaan dalam menyediakan kediaman selesa terbukti apabila sasaran 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 telah dilepasi.
Sehingga 30 September 2025, sebanyak 511,544 unit RMM telah direalisasikan, merangkumi projek yang siap, sedang dibina, serta yang telah mendapat kelulusan merancang.
Kejayaan itu merupakan hasil gandingan strategik antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dengan pemaju swasta di bawah kerangka reformasi perumahan Madani.
