Topik diikuti
Pergi ke BHkuKerajaan M’sia teliti langkah sesuai tangani kenaikan bahan api, barangan
Kerajaan M’sia teliti langkah sesuai tangani kenaikan bahan api, barangan
Beri jaminan bekalan barangan keperluan asas kekal stabil
Kerajaan M’sia teliti langkah sesuai tangani kenaikan bahan api, barangan
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Malaysia giat mencari jalan terbaik menangani kenaikan harga barang dan bahan api, isu yang kini menjadi perhatian utama rakyat Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa mesyuarat akan diadakan secepat mungkin bagi membincangkan hal itu secara menyeluruh.
Beliau menegaskan, pelbagai bantuan sedia ada, termasuk subsidi bahan api dan sokongan pengangkutan, akan terus disalurkan bagi meringankan beban yang ditanggung rakyat.
“Buat masa ini, rangsangan berupa harga minyak kekal RM1.99 ($0.64), selain bantuan diesel untuk bas sekolah... kita akan ada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (membincangkan) aspek keselamatan.
“Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pula akan menyentuh sudut ekonomi, dan kita akan terus berbincang setiap hari mencari solusi.
“Setakat ini, bekalan masih dalam kawalan,” katanya, lapor Buletin TV3.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvensyen Mini Parti Keadilan Rakyat Terengganu 2026 di Terengganu Equestrian Resort, Kuala Terengganu, pada 13 April.
Dalam nada yang sama, kerajaan memberi jaminan bekalan barangan keperluan asas kekal stabil, namun, pemantauan rapi akan terus dilaksanakan bagi menjamin kestabilan harga dan bekalan di pasaran.
Sementara itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) menggesa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh Malaysia supaya segera memperkasa langkah perancangan dan penjimatan tenaga.
Menteri KPKT, Encik Nga Kor Ming, menjelaskan langkah itu selaras dengan arahan Kerajaan Persekutuan bagi menyahut cabaran krisis tenaga sejagat yang semakin memuncak.
Sebagai agensi penyelaras PBT, beliau berkata KPKT komited memastikan 156 PBT mengambil tindakan proaktif dan terancang untuk mengoptimumkan penggunaan tenaga di bangunan, kemudahan, dan operasi harian masing-masing.
“Kerajaan Madani sentiasa menerajui dengan teladan, memastikan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
“PBT mesti memastikan operasi harian dan urusan kaunter berjalan lancar serta cekap demi memenuhi keperluan rakyat.
“Penjimatan tenaga bukan sahaja mengurangkan kos operasi kerajaan, bahkan juga menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan matlamat pembangunan rendah karbon negara,” tegas beliau dalam satu kenyataan, lapor MalaysiaGazette.
Antara saranan utama kepada PBT termasuk menetapkan suhu penyaman udara minimum 24 darjah Celsius di semua bangunan dan pejabat, kata Encik Nga.
PBT juga disaran mengamalkan penjimatan harian, seperti mematikan lampu, komputer, dan peralatan elektrik yang tidak digunakan.
Selain itu, kakitangan digalak memakai pakaian yang sesuai dengan iklim tropika, seperti batik atau kemeja korporat, bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyaman udara.
Dalam pada itu, PBT turut digesa agar meningkatkan penggunaan teknologi hijau, seperti pemasangan panel solar fotovolta, lampu LED cekap tenaga, dan sistem pengurusan bangunan pintar di kemudahan mereka.
