JOHOR BAHRU: Seramai 3,526 penerima telah mendapat manfaat di bawah Perumahan Kasih Johor (PKJ) Fasa 1 dan Fasa 2 dengan peruntukan keseluruhan RM14.9 juta ($4.8 juta).

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata daripada jumlah itu, seramai 2,506 penerima meraih manfaat dalam Fasa 2 membabitkan penyaluran hampir RM10.53 juta.

Beliau berkata pelaksanaan PKJ bukan sekadar bantuan kewangan semata-mata, sebaliknya merupakan pendekatan menyeluruh kerajaan negeri itu dalam menangani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya dalam aspek pemilikan kediaman.

“Melalui majlis penyerahan ini, tiga inisiatif utama dilaksanakan serentak iaitu Bantuan Beli Rumah Pertama, Bantuan Masuk Rumah Pertama dan Bantuan Sewa Rumah.

“Pendekatan ini memastikan lebih ramai rakyat Johor berpeluang memiliki atau menyewa rumah dengan lebih mudah tanpa beban kewangan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan pada 26 April.

Menurutnya, di bawah PKJ, kerajaan negeri itu menyediakan Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000, manakala Bantuan Masuk Rumah Pertama pula berjumlah RM2,000 bagi membantu pembeli yang telah menerima kunci kediaman mereka.

“Bagi mereka yang masih belum memiliki rumah, Bantuan Sewa Rumah turut disediakan dengan kadar sehingga RM2,500 secara sekali beri, selain penambahbaikan syarat kelayakan bagi memastikan lebih ramai rakyat dapat memanfaatkan inisiatif ini,” katanya.

Menurutnya, bantuan itu terbuka kepada semua Bangsa Johor tanpa mengira kaum, sekali gus mencerminkan pendekatan bersifat terangkum yang diambil kerajaan negeri itu dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Pada masa yang sama, Datuk Onn Hafiz berkata kerajaan negeri itu turut mengambil langkah strategik dengan memperluas bantuan kepada golongan berpendapatan sederhana (M40), khususnya bagi pembelian kediaman lot Bumiputera dalam julat harga antara RM300,000 dengan RM650,000.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata usaha memperkasa sektor perumahan tidak terhenti di situ apabila kerajaan negeri itu turut memperkenalkan pelbagai penambahbaikan dalam sistem permohonan Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), termasuk mengurangkan birokrasi dan mempercepatkan proses kelulusan.

Jumlah dokumen permohonan telah berjaya dikurangkan daripada 17 kepada hanya lima dokumen.

Selain itu, proses permohonan kini dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian, termasuk muat naik dokumen dan undian terbuka yang dijalankan dalam tempoh antara tujuh dengan 14 hari, sekali gus meningkatkan ketelusan dan kecekapan sistem penyampaian.

Datuk Mohd Jafni berkata kerajaan negeri itu turut memperkenalkan program, ‘J-Home One Stop Centre’, yang menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pemaju, institusi kewangan, firma guaman dan agensi berkaitan bagi memudahkan proses pemilikan rumah.

Dalam pada itu, beliau berkata, usaha berterusan kerajaan negeri itu dalam memperkasa agenda perumahan turut dizahirkan menerusi sasaran pembinaan 100,000 unit Rumah Mampu Milik Johor menjelang 2030.

Sehingga suku pertama 2026, sebanyak 21,412 unit telah direkodkan, dengan sasaran tambahan sebanyak 8,588 unit menjelang akhir 2026 bagi mencapai 30,000 unit bagi tempoh 2022 hingga 2026.

Beliau berkata baki 70,000 unit lagi akan dilaksanakan dalam tempoh 2027 hingga 2030 sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang kerajaan negeri itu.

“Ini bukan sekadar angka, tetapi satu amanah besar yang sedang kita laksanakan secara serius bagi memastikan setiap rakyat Johor berpeluang memiliki rumah yang selesa dan berdaya huni,” katanya.