MAKKAH: Malaysia berdepan risiko hilang keistimewaan yang diberi kerajaan Arab Saudi jika secara berterusan melanggar undang-undang dan peraturan yang ditetapkan negara itu, termasuk menggunakan visa pelancong untuk mengerjakan haji.
Ketua Rombongan Haji, Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman, mengharapkan rakyat Malaysia jangan menyalah guna visa itu untuk tujuan melaksanakan haji kerana ia akan mencalar imej Malaysia sebagai sebuah negara yang menjaga peraturan dan undang-undang.
“Setakat ini rakyat Malaysia diberi keistimewaan untuk mengerjakan umrah menggunakan visa pelancong. Saya nasihatkan rakyat Malaysia sentiasa patuh dan ikut peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Syed Salleh, yang juga Pengarah Eksekutif Haji TH, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 300 jemaah Malaysia terkandas di Makkah selepas dikatakan terpedaya oleh pakej haji murah yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.
Menurut Syed Salleh, adalah jelas mereka yang datang dari luar negara Arab perlu ada visa haji, sementara penduduk tempatan dan pemastautin pula perlu mempunyai permit haji untuk melaksanakan haji.
“Visa pelancong, visa umrah, visa perniagaan, visa pelajar dan sebagai semuanya tidak dibenarkan melaksanakan haji melainkan visa haji, iaitu visa rasmi bagi setiap negara untuk menunaikan haji,” katanya.
Kerajaan Arab Saudi sudah mula membuat sekatan jalan raya dan memantau jalan tertentu untuk memastikan hanya mereka yang ada visa haji sah masuk kawasan beribadat haji, terutama di Makkah.
“Saya ingin tekankan sudah menerima beberapa laporan daripada kerajaan Arab Saudi bahawa mereka sudah mula membuat tangkapan ke atas agensi yang menawarkan khidmat haji kepada mereka yang datang menggunakan visa pelancong atau visa umrah,” kata Syed Salleh.
“Sebelum ini pun kerajaan Arab Saudi sudah mengumumkan penguatkuasaan penalti sebanyak 10,000 riyal ($3,598) bagi pelanggaran peraturan dan arahan musim haji, termasuk memasuki tujuh kawasan tanpa visa haji yang sah,” katanya.
Beliau menasihat mereka yang menggunakan visa pelancong mestilah meninggalkan Arab Saudi sebelum 29 Zulkaedah 1445, iaitu bersamaan 17 Mei.
Sementara itu, kumpulan pertama 282 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Makkah pada 14 Mei selepas enam hari berada di Madinah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg