KUALA LUMPUR: Malaysia dan Brunei terus memperkukuh hubungan serta kerjasama yang sedia terjalin antara kededua negara.
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dibincangkan pada pertemuan beliau dengan Putera Mahkota Brunei, Putera Al-Muhtadee Billah, pada 8 Disember.
“Kami bicara terkait usaha memperkukuh hubungan dan kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang khususnya perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan serta hal ehwal sempadan,” katanya menerusi hantaran pendek di Facebook, lapor Astro Awani.
Brunei adalah rakan perdagangan keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Asena pada 2023 dengan nilai dagangan sebanyak AS$2.04 bilion ($2.82 bilion).
Sementara itu, Datuk Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah Pertubuhan Dagangan Dunia (WTO), Dr Ngozi Okonjo-Iweala, semasa lawatan sulung beliau ke Malaysia dari 6 hingga 8 Disember.
Dalam pertemuan itu, Malaysia menekankan kepentingan keadilan dan keselamatan dalam perdagangan sejagat sambil menekankan keperluan untuk pembaharuan dalam WTO.
Ia termasuk memulihkan mekanisme penyelesaian pertikaian dan memupuk dialog inklusif untuk menangani kebimbangan semua ahli, khususnya negara membangun.
Lawatan itu diselaras dan dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti).
Ketika pertemuan itu, Dr Okonjo-Iweala dan Datuk Anwar turut membincangkan isu geopolitik yang mendesak dan cabaran perdagangan sejagat, termasuk pertambahan perlindungan perdagangan dan kelemahan sistem penyelesaian pertikaian yang telah menjejaskan kredibiliti WTO.
Dr Okonjo-Iweala turut mengiktiraf kepimpinan proaktif Malaysia di bawah pimpinan Datuk Anwar, di mana kedudukan Malaysia sebagai negara kuasa pertengahan memberikannya keupayaan unik untuk merapatkan jurang antara rantau ekonomi utama.
“Dalam memacu pembaharuan yang bermakna di WTO, saya mengakui kepentingan untuk melindungi MTS demi kestabilan perdagangan global.
“Sebagai Pengerusi Asean pada 2025, saya berharap Malaysia akan dapat memimpin rantau ini dalam menyokong usaha ke arah Pembaharuan WTO,” kata Dr Okonjo-Iweala.
WTO menjadi satu-satunya organisasi antarabangsa sejagat yang mengawal selia perdagangan antara negara, menyediakan rangka kerja untuk merundingkan perjanjian perdagangan dan menyelesaikan pertikaian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg