Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Msia: Budak maut dibaham buaya, mayat ditemui tanpa kepala, tangan

Oct 14, 2024 | 5:25 PM
Mayat kanak-kanak tanpa kepala dan tangan kanan ditemui penduduk kampung selepas diheret buaya dalam kejadian di sebuah pantai di Sabah.
Mayat kanak-kanak tanpa kepala dan tangan kanan ditemui penduduk kampung selepas diheret buaya dalam kejadian di sebuah pantai di Sabah. - Foto SINAR HARIAN

SABAH - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun maut akibat dibaham buaya ketika bermandi di Pantai Sinakut Felda Sahabat Desa Kencana di Sabah pada 13 Oktober.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mayat Denis Rodi ditemui selepas kira-kira tiga jam kemudian dalam keadaan tanpa kepala dan tangan kanan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Encik Dzulbaharin Ismail berkata, hasil siasatan mendapati kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama lima lagi rakannya sedang mandi di pantai tersebut.

“Ketika mandi, mangsa telah disambar dan diheret oleh seekor buaya ke tengah laut.

“Usaha mencari dan menyelamat segera dilakukan oleh ahli keluarga serta penduduk kampung tetapi gagal menemuinya.

“Seorang lelaki kemudian membuat laporan di Balai Polis Desa Kencana untuk mendapatkan bantuan mencari mangsa dan pada jam 9.26 pagi, mangsa ditemui kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian.

“Mangsa mengalami kecederaan putus kepala dan tangan sebelah kanan serta disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi akhbar Sinar Harian pada 13 Oktober itu.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu diminta tampil untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Hidupan Liar, Encik Silvester Saimin memaklumkan pihaknya turut menerima laporan berhubung kejadian tersebut.

“Menurut maklumat, keluarga mangsa dari Bandar Lahad Datu datang ke kampung itu untuk melawat keluarga mereka.

“Sekitar jam 7 pagi kanak-kanak berusia sekitar lima hingga 10 tahun dibawa ibu saudara mereka untuk mandi di pantai itu.

“Mangsa yang berada di tengah kumpulan kanak-kanak itu telah dibaham buaya dan telah ditarik ke dalam air.

“Mangsa ditemui di Kampung Sinakut Lama dan keluarga mangsa telah menghalang buaya tersebut menggunakan bot sehingga mayat mangsa dilepaskan di tepi pantai,” katanya.

Encik Silvester berkata, pihaknya telah menemui dua ekor buaya dan telah melepaskan satu das tembakan terhadap setiap haiwan tersebut.

“Namun buaya itu telah tenggelam ke dalam air. Pihaknya akan sentiasa memantau kawasan tersebut kerana buaya itu sering dilihat di kawasan pantai,” katanya. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg