Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga penuntut universiti di Terengganu maut dirempuh kenderaan SUV

Ada ibu bapa mangsa dalam perjalanan tunai umrah di Makkah berpatah balik ke KL sebaik terima berita duka
Oct 10, 2024 | 10:45 AM
Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, yang maut selepas dua motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 9 Oktober malam.
Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, yang maut selepas dua motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) pada 9 Oktober malam. - Foto FACEBOOK ZAMBRY ABD KADIR

DUNGUN (Terengganu): Sepasang suami isteri yang baru tiba di Jeddah untuk menunaikan umrah di Makkah terpaksa berpatah balik ke Kuala Lumpur selepas menerima berita duka anak mereka adalah seorang daripada tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu, yang maut dalam kemalangan, pada 9 Oktober malam.

Dalam kejadian pada 7.20 malam itu, tiga pelajar terbabit maut, manakala seorang lagi parah.

Ini selepas dua motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandu seorang wanita yang dipercayai kurang siuman, di hadapan universiti itu di Kampung Sura Hujung, Dungun.

Mangsa yang maut ialah pelajar jurusan Ijazah Perakaunan, Allahyarham Ku Adib Aizab Ku Azmi, 20 tahun; dan Allahyarham Khairil Anuar Jamaluddin, 20 tahun; manakala Mohd Akhmal Tukirin, 20 tahun, adalah pelajar Ijazah Perhotelan.

Rakan mereka yang cedera parah ialah Encik Mohd Ammar Danish Mohd Rodhuan, 20 tahun, kini dirawat di Hospital Dungun dan akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut, lapor Berita Harian Malaysia.

Ku Adib Aizab adalah anak kepada Penolong Pengarang Berita Berita Harian Malaysia (BHM), Cik Hafizah Iszahanid dan bapanya, Encik Ku Azmi Saad.

Ketika kejadian, pasangan itu dalam penerbangan ke Makkah untuk mengerjakan umrah menerusi Program Umrah dan Ziarah 2024 anjuran syarikat Media Prima Bhd membabitkan 127 peserta daripada kalangan kakitangan dan ahli keluarga.

Pesawat rombongan umrah itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.35 petang 9 Oktober dan tiba di Jeddah pada 9.15 malam (waktu tempatan).

Sebaik menerima berita duka itu, pasangan berkenaan berpatah balik ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir, mengesahkan menerima laporan kejadian dan memaklumkan ketika kejadian, semua mangsa baru selesai makan malam di sebuah kedai berhampiran universiti berkenaan.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila SUV dipandu wanita itu merempuh belakang kedua-dua motosikal terbabit.

“Rempuhan menyebabkan seorang daripada mangsa tercampak ke dalam longkang. SUV itu turut terbabas dan masuk ke longkang berhampiran,” katanya.

Jenazah ketiga-tiga mangsa dimandi dan dikafankan di Hospital Dungun pada 10 pagi dan disolatkan di Masjid UiTM Dungun sebelum dibawa pulang ke Ampang dan Sungai Buloh, Selangor; serta Muar, Johor, untuk dikebumikan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg