Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Buaya 300kg ancam penduduk Sabah ditembak mati

Jul 15, 2024 | 11:01 AM
buaya
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia mengangkat buaya betina yang ditembak mati dalam operasi bersepadu membanteras buaya yang mengancam keselamatan penduduk di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, Sabah. - Foto JABATAN HIDUPAN LIAR SABAH

LAHAD DATU (Sabah): Seekor buaya betina seberat 300 kilogram ditembak mati dalam satu operasi bersepadu membanteras buaya di Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, Sabah.

Dalam operasi pada 11 Julai, kehadiran buaya sepanjang 2.5 meter berkenaan dikesan di tepi rumah atas air di kampung terbabit.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Lahad Datu, Encik Sylvester Saimin, berkata satu operasi bersepadu dijalankan bagi membanteras buaya membabitkan JHL, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dijalankan pada 11 malam, 11 Julai.

“Operasi melibatkan beberapa kawasan termasuklah Kampung Dasar Baru, Kampung Desa Bajau, Kampung Sabah Baru, Kampung Tabanak dan Kampung Terusan. Kehadiran seekor buaya di kesan di tepi rumah atas air di Kampung Sabah Baru.

“Pasukan JHL kemudiannya melepaskan satu das tembakan berjaya menembak mati reptilia berkenaan. Bangkai buaya itu dibawa ke perumahan kakitangan JHL Lahad Datu untuk tindakan lanjut,” katanya, lapor Kosmo!

Encik Sylvester berkata operasi membanteras buaya yang mengancam keselamatan penduduk di perkampungan terlibat akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Pada Februari, tiga buaya jantan berukuran kira-kira 3.4 meter panjang ditembak mati dalam operasi bersepadu membabitkan beberapa lokasi sekitar di Lahad Datu, bagi mengelak ancaman kepada penduduk.

Pada 23 Jun, seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemui meninggal dunia dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di sungai Kampung Lembaga Batu 8, Jalan Datuk Tay, Sandakan, Sabah.

Ahli Suruhanjaya Kemandirian Khas Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), Profesor Benoit Goossens, pernah dilaporkan berkata kehilangan habitat dan kekurangan sumber makanan bersaiz besar berkemungkinan antara sebab serangan buaya semakin meningkat di Sabah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg